KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengingatkan semua ahli Parlimen supaya menumpukan perbahasan lebih kepada isu kawasan masing-masing dan tidak retorik.
Beliau berkata demikian sebelum memulakan soalan Aturan Urusan Mesyuarat yang pertamapagi ini.
“Masa diberi untuk kita berbahas, cuba tumpukan kepada kawasan kerana kalau kita lihat, retorik tidak melambangkan aspirasi ahli Parlimen yang hadir,” katanya.
Ramli dalam masa yang sama turut mengingatkan kepada ahli Dewan Rakyat baharu tentang pentingnya cokmar sebagai keabsahan kepada setiap apa yang dibahaskan.
“Mereka yang baharu di dalam Dewan yang mulia ini, kehadiran cokmar sebagaimana yang dianugerahkan Seri Paduka, ia melambangkan sembilan Raja-Raja Melayu, tanpa cokmar, apa yang kita laksanakan tidak ada keabsahan,” ujarnya.
Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan soalan pertama dari Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau yang meminta kerajaan menyatakan apakah jenis dan nilai bantuan yang diberikan kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti banjir dan kebakaran di tempat kediaman pada masa sekarang ini. – UTUSAN