Pahang juara Bola Jaring Remaja Kebangsaan - Utusan Malaysia

Pahang juara Bola Jaring Remaja Kebangsaan

PEMAIN pasukan Pahang yang muncul juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan Kali Ke-37 di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN

IPOH: Pahang muncul juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan Kali Ke-37 yang berakhir di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Pahang ternyata berada dalam kelas sendiri apabila membenam Selangor, 74-47 dalam perlawanan akhir.

Jangkaan perlawanan akhir bakal sengit berikutan prestasi hebat kedua-dua pasukan pada pusingan awal, meleset.

Walaupun Selangor berusaha memberi saingan tetapi tidak ada apa yang mampu mereka lakukan untuk menyekat lawan yang mempamer permainan bersemangat.

Pahang turut merangkul dua gelaran individu apabila Siti Maisarah Affandi dan Nurul Anisha Mohammad Asri dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik.

Juara bertahan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula menebus kehampaan kehilangan gelaran dengan menumpas Johor 43-41 untuk menduduki tempat ketiga pada kejohanan kali ini.

Sementara tuan rumah, Perak mengakhiri cabaran kejohanan 14 pasukan itu di tempat kelima selepas menewaskan Perlis 30-23.

Terengganu mengatasi Kedah 34-20 untuk menduduki kedudukan ketujuh manakala Melaka mengecewakan Pulau Pinang 25-20 dalam perebutan tempat 9/10. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN