Olah adegan merokok ikut kreativiti - Zed Zaidi

Olah adegan merokok ikut kreativiti – Zed Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUMAH sudah siap pahat masih berbunyi. Itu perumpamaan sesuai digambarkan buat drama bersiri Projek: High Council yang sohor kini di media sosial. 

Drama yang membariskan pelakon muda mencetuskan fenomena sejak ditayangkan di Astro 14 Januari lalu, sudah memasuki episod terakhir minggu lalu. 

Kualiti dan persembahan drama itu mendapat lambungan pujian ramai. Namun, adegan merokok dalam kalangan pelajar secara terbuka dan disifatkan keterlaluan mendapat perhatian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi. 

Menurut Zed, mempromosikan perbuatan merokok dalam filem dan drama lebih-lebih lagi melibatkan pelakon remaja adalah satu tindakan yang tidak patut berlaku. 

Jelasnya, babak tersebut secara tidak langsung memberi galakan terhadap penonton untuk cuba merokok dlaam kehidupan sebenar.  

“Filem atau drama sepatutnya menjadi platform bagi mempromosikan budaya tidak merokok dan memberi mesej kebaikan kepada remaja. Adegan merokok keterlaluan dan terlalu banyak tidak patut berlaku.  

“Perkara ini perlu ada pemantauan lebih ketat daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau desakan daripada peringkat kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan melibatkan kesihatan awam. 

“Seniman membantah adegan tersebut dalam kalangan remaja kerana kita bimbang ia akan memberikan pengaruh tidak baik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Zed yang pernah membintangi drama bersiri Sembilu berkata, anak seni sepatutnya bekerja dengan lebih kreatif dalam mempersembahkan adegan yang bakal ditayangkan lebih-lebih lagi melibatkan siaran di televisyen. 

“Contohnya, kalau nak tunjuk adegan suami dan isteri, adakah kita akan tayang babak hubungan intim? Kita tak akan tunjuk adegan tersebut sebaliknya akan tunjuk rekasi pelakon lelaki dan perempuan. 

“Mungkin ada babak tutup lampu dan keesokan harinya ada adegan air jernih yang mengalir di daun. Itulah namanya kreativiti,” jelasnya. 

Berbalik pada adegan merokok, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, banyak kreativiti boleh diterjemahkan sekali gus mengangkat nilai kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat. 

“Tak semestinya nak tunjuk rokok kena hisap rokok. Boleh tunjuk dalam bentuk dan cara lain. Pada masa sama, jangan tonjolkan adegan tersebut secara berlebihan. 

“Faham nak tunjuk kejahatan dan kenakalan, tetapi ikutlah kreativiti kerana di Malaysia kreativiti kita sangat tinggi sebab banyak garis panduan dan sensitivit yang perlu dijaga. 

“Setiap babak boleh diubah suai mengikut keperluan semasa lebih-lebih lagi yang ditayangkan di televisyen sebab lebih mudah akses berbanding di pawagam,” jelasnya.   

Beliau mengulas kenyataan Public Health Malaysia di Facebook berhubung adegan merokok yang ditayangkan dalam naskhah arahan Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria yang dikatakan agak keterlaluan dalam kalangan pelajar sekolah berasrama.

Menerusi drama itu, banyak adegan yang dikatakan tidak bersesuaian seperti merokok di halaman rumah serta dalam bilik di asrama.   

Susulan itu, pihaknya menggesa semua produksi filem dan drama menghentikan promosi perbuatan merokok kepada khalayak penonton.   

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya