Obsesi Tiktok, suka aibkan suami, Musa fail nusyuz terhadap isteri

Obsesi Tiktok, suka aibkan suami: Musa Hassan fail nusyuz terhadap isteri

ELLY AFIZAHWATI ABDUL JALIL dan MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan memfailkan nusyuz terhadap isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, permohonan tersebut akan difailkan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur atas alasan-alasan tuntutan nusyuz.

Difahamkan, antara alasannya adalah disebabkan berkelakuan tidak senonoh Elly Afizahwati serta obsesi Tiktok yang berlebihan selain menengking, mengaibkan dan keluar rumah tanpa izin suaminya.

“Esok Tan Sri akan failkan nusyuz terhadap isterinya atas alasan-alasan yang diberikan dalam permohonan tuntutan tersebut.

“Selain itu, beliau akan menghantar saman libel di mahkamah minggu depan selain meminta permohonan maaf secara terbuka terhadap perbuatan fitnah berkaitan penularan video dipercayai dirakam isterinya (Elly Afizahwati) sehingga tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Musa ketika dihubungi berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya bagi meneruskan proses-proses selanjutnya di mahkamah.

Ditanya tindakan Elly Afizahwati membuat permohonan cerai atas faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam, beliau menegaskan itu hak isteri beliau untuk berbuat demikian.

“Biarlah, itu hak dia (Elly Afizahwati), hak saya pula saya akan serahkan kepada peguam untuk proses selanjutnya,” ujar beliau.

Mengenai perkembangan hubungan beliau dan isterinya selepas insiden melibatkan beberapa video tular di media sosial awal bulan ini, Musa memberitahu, tiada sebarang perbincangan antara mereka.

“Semuanya akan diserahkan pada peguam untuk proses undang-undang dan mahkamah,” ujarnya.

Terdahulu, isteri Musa, Elly Afizahwati, 42, memfailkan permohonan cerai atas faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

Beliau hadir bersama peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

“Tan Sri (Musa Hassan) pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” katanya.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Pada 9 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan Musa menegaskan apa yang berlaku hanya perselisihan faham berkaitan masalah rumah tangganya susulan beberapa video tular membabitkan pertelingkahan beliau dan isterinya.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas akan diambil pihaknya terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan spekulasi yang bukan-bukan mengenai kejadian tersebut.

“Ini adalah hal rumah tangga saya. Jadi saya mempunyai prinsip tidak akan aibkan sesiapa termasuklah mana-mana orang iaitu isteri saya,” katanya.

8 Mac lalu, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak dalam rakaman itu.

Polis mengesahkan, membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN