Nelayan terpaksa ikat perut, berhutang beli barangan asas - Utusan Malaysia

Nelayan terpaksa ikat perut, berhutang beli barangan asas

NELAYAN pantai masih menunggu keadaan kembali tenang untuk turun semula ke laut di Kampung Nelayan Pantai Berserah di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 60 nelayan di Kampung Nelayan Pantai Berserah di sini hilang punca pendapatan kerana sudah lima bulan tidak ke laut ekoran Monsun Timur Laut (MTL) dan cuaca tidak menentu yang dijangka berlanjutan bulan ini.

Rata-rata mereka merungut dengan permasalahan dihadapi dan kecewa apabila tiada bantuan tambahan diperoleh daripada Kerajaan Pusat menerusi pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, nelayan pantai, Wan Abdul Jamaludin Wan Mohamad, 53, berkata, dia kini terpaksa ikat perut dan berhutang di kedai runcit untuk mendapatkan keperluan barangan asas sementara menunggu peluang turun semula ke laut.

“Memang kita sangat perlukan bantuan terutamanya daripada kerajaan. Sekarang ni kita tak dapat apa-apa bantuan.

“Sejak November kita tak boleh pergi ke laut, masuk bulan Disember, Januari dan Februari, kalau diikutkan empat bulan ini sudah kering air mata untuk menangis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wan Abdul Jamaludin berkata, situasi kali ini lebih teruk berbanding sebelumnya berikutan rata-rata nelayan di sini termasuk dirinya turut ditimpa musibah banjir.

“Sudahlah tidak dapat turun ke laut, banjir pula berlaku dan sekarang masa untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak selain perbelanjaan harian pada bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Dua daripada lima anak saya masih bersekolah. Tak lama lagi anak nak masuk asrama. Semua itu memerlukan belanja yang besar. Tahun lalu tidak seteruk tahun ini kerana ditambah de­ngan dua kali rumah dilanda banjir.

“Barang-barang rumah semua rosak ketika banjir dan semuanya memerlukan per­belanjaan tinggi. Mujur ada adik-beradik dan saudara-mara datang hulur sedikit bantuan,” katanya.

Ketua Nelayan Beserah, Abdul Aziz Razali, 53, berkata, meskipun bersyukur kerana masih diberikan elaun sara hidup RM300 sebulan, mereka berharap dapat bantuan secara one-off kepada nelayan yang terjejas pada musim MTL ini.

Katanya, kebiasaannya bermula pertengahan Januari atau Februari, mereka sudah boleh turun ke laut seperti biasa namun dengan keadaan cuaca tidak menentu tahun ini, tidak pasti bila boleh berbuat demikian.

“Itu kita minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turun padang dengar keluh kesah nelayan. Mungkin (Menteri) boleh minta jumpa Perdana Menteri bagi tambahan Belanjawan 2023 untuk nelayan pantai.

“Apa salahnya menteri jumpa Perdana Menteri minta bajet tambahan untuk nelayan. Sebab dengan keadaan cuaca sekarang memang teruk nak cari makan. Kalau boleh beri one-off untuk nelayan, tak kiralah berapa pun kerajaan nak berikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya