Muhyiddin kekal Presiden Bersatu

Muhyiddin kekal Presiden Bersatu

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas usul khas bagi menolak peletakan jawatan beliau diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-5 hari ini.

Usul tersebut dikemukakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai tanda solidariti kepada Muhyiddin.

Katanya, usul tersebut menzahirkan taat setia serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada sidang perwakilan perhimpunan yang mewakili seluruh ahli penyokong parti kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.

“Perjuangan ini bagi memastikan Bersatu tidak berpecah-belah dalam mendepani serangan fitnah berterusan dan bertali arus, meyakini segala pertuduhan kepada Presiden yang merupakan tunjang kekuatan parti dan bersifat luar tabii dan tak masuk akal serta bertujuan melemahkan struktur dan integriti parti.

“Oleh kerana itu, saya membentangkan usul untuk menolak peletakan jawatan Tan Sri sekali gus menyokong penuh Tan Sri kekal memimpin sebagai presiden Bersatu,” katanya.

Katanya, Bersatu tidak boleh membiarkan Muhyiddin keseorangan setelah banyak berkorban demi parti.

“Ini masa ahli-ahli parti bersolidariti dan menentang kezaliman dan tidak berbangkit isu dan keperluan meletakkan jawatan.

“Tanpa Tan Sri, parti ini tidak akan wujud. Bersatu ini lahir di teratak beliau, asas perjuangan parti ini daripada idealisme beliau dan kelangsungannya kerana komitmen dan kejayaan parti kerana keyakinan rakyat terhadap beliau yang dikasihi sebagai abah.

“Pengorbanan dilakukan Abah (Muhyiddin) tidak boleh dipertikaikan lagi, pelbagai jenis cabaran dan dugaan, naik dan turun, beliau pernah dipecat, digesa melepas jawatan dan kini dituduh dengan penuh kezaliman. Abah sentiasa bersama kita dan sampai masa kita bersama beliau,” katanya.

Usul tersebut mendapat sokongan sebulat suara perwakilan yang hadir dan disahkan oleh Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Suhaimi Abdullah.

“Dengan cara sokongan kepada usul ini, sah Tan Sri Muhyiddin masih lagi Presiden kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya