Muhyiddin didakwa walaupun dokumen siasatan tidak lengkap - Hamzah

Muhyiddin didakwa walaupun dokumen siasatan tidak lengkap – Hamzah

MUHYIDDIN Yassin ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZONE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikenakan enam pertuduhan walaupun dokumen siasatan belum lengkap.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak pendakwaan ketika beliau mengiringi Muhyiddin di mahkamah kelmarin.

“Saya masih teringat dalam mahkamah, apabila sahaja diminta peguam kita untuk mendapatkan dokumen, mereka kata belum lengkap atas pertuduhan itu. Mereka begitu zalim, siasatan belum lengkap kertas pendakwaan telahpun tersedia dan disebarkan ke seluruh negara untuk malukan pemimpin dan parti kita.

“Maknanya jelas, ini pertuduhan politik dan merosakkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bagi menutup kebobrokan sendiri untuk mengalih kegagalan kerajaan dengan cara memfitnah dan menuduh kita.

“Tetapi, rakyat tak bodoh, mereka tahu mana intan dan mana permata. Mereka tahu yang mana tin kosong dan yang mana benar-benar layak memimpin negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.

Katanya, sejak Muhyiddin didakwa, banyak kritikan dilemparkan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama dalam soal dasar kerajaan.

“Dalam soal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan itu kita mahukan, rakyat sedang dalam ujian terhutang begitu banyak, dia mahu rakyat hutang sekali lagi,” katanya.

Justeru, beliau yakin kerajaan sedia ada tidak bertahan lama seperti yang disangkakan.

“Penguasa zalim tidak bertahan lama, penindasan demi penindasan bersulam kesumat bakal menjerat leher mereka sendiri. Percayalah, kezaliman akan dibalas dengan kehancuran kerana menzalimi kita, Bersatu dan PN.

“Mereka memperalatkan agensi kerajaan untuk melakukan pembunuhan karakter ke atas pemimpin kita sayangi, melakukan pendakwaan terpilih, bermotifkan politik dan penganiayaan, tetapi percayalah kita di pihak yang benar, kita akan bangkit dan ambil kembali kerajaan hari ini,” katanya.

Tambahnya, pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri akan menentukan nasib kerajaan tidak lama lagi.

“Mereka melakukan apa sahaja demi untuk kalahkan kita, tetapi PRN akan menentukan berapa lama hayat kerajaan. Kita yang jawab soalan itu, berapa lama kerajaan ini akan bertahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya