PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana pertuduhan kes rasuah ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.
“MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap Presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat Khas MPT Bersatu yang berlangsung sebentar tadi dipengerusikan Muhyiddin.
Semalam, Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.
Muhyiddin ditanya mengenai kedudukannya sebagai Presiden Bersatu setelah menghadapi enam pertuduhan di mahkamah termasuk empat dakwaan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta. – UTUSAN










