MP Lahad Datu, ADUN Kunak renggang sebab pejabat Parlimen? 

MP Lahad Datu, ADUN Kunak renggang sebab pejabat Parlimen? 

MOHAMMAD YUSOF APDAL dan NORAZLINAH ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif yang bertindak keluar daripada Parti Warisan (Warisan) 6 Februari lalu dikatakan sudah tidak sebulu lagi dengan kepemimpinan parti itu terutamanya dalam isu penggunaan pejabat baharu Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Ini ekoran Mohammad Yusof mahu membina pejabat baharu untuk beliau sendiri berbanding berkongsi dengan pejabat ADUN Kunak di bangunan sama sebelum ini.

Difahamkan Norazlinah tidak bersetuju dengan pembinaan pejabat baharu tersebut kerana pejabat ADUN Kunak sudah ada dan boleh diguna untuk urusan Parlimen selain kedua-duanya daripada parti politik yang sama iaitu Warisan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammad Yusof yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, beliau didatangi kakitangan Norazlinah yang mempersoal keputusan untuk membuka satu lagi pejabat untuk Parlimen ketika beliau mula membuka pejabat baharunya di daerah itu.

“Saya kata cuma mahu memudahkan urusan di sana, supaya kalau ada aduan, mungkin ada rakyat yang segan berjumpa ADUN (Norazlinah), jadi mereka mengadu kepada saya. Macam saya, orang UMNO pun boleh layan,” katanya ketika ditemui di ruang legar bangunan Parlimen, baru-baru ini. 

Mohammad Yusof merupakan adik kandung kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Ahli Parlimen Semporna) berkata, isu pejabat Parlimen itu bukanlah menjadi faktor utama mengapa Norazlinah membuat keputusan keluar parti, namun, ia disebabkan isu lain yang dikaitkan dengan peruntukan ADUN kerajaan negeri Sabah sebanyak RM3 juta.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Norazlinah menafikan tidak pernah ditawar mana-mana pihak menerima peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM3 juta untuk meninggalkan Warisan.

Namun, keputusannya menyokong kerajaan kerana mahu menggunakan peruntukan itu demi membantu rakyat dan membangunkan kawasan disebabkan Kunak tidak mendapat sebarang peruntukan pembangunan jika terus menjadi pembangkang.

Mengulas perkara itu, Mohammad Yusof berkata, hasrat Norazlinah keluar parti sudah boleh difahami kerana beliau mahu menerima ‘tawaran’ kerajaan negeri berkenaan projek RM3 juta yang telah dibentang dalam Bajet Sabah 2023, tahun lalu.

“Itulah maksudnya, bila kamu ikut dia (kerajaan), maka dapatlah peruntukan itu. Yang beliau nafikan mengenai ‘tawaran’ itu buat apa?. Kalau alasannya tidak ditawar, kenapa beliau ‘lari’,” katanya.

Semasa perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu, Mohd. Shafie mendakwa Norazlinah diberi projek bernilai RM3 juta. Beliau bertegas bahawa tiga ADUNnya yang keluar parti kerana ‘dibeli’ pihak tertentu selain mendakwa mempunyai bukti yang Norazlinah mengaku ditawar imbuhan.

Bekas Ketua Wanita Warisan itu sebelum ini mengalu-alukan Mohd. Shafie melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain bersedia disiasat kerana yakin beliau tidak pernah ditawar imbuhan untuk meninggalkan parti.

Awal bulan ini, Norazlinah mengumumkan keputusan keluar Warisan dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama dua lagi ADUN iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya