KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) meluahkan rasa bimbang jika model percukaian sedia ada terus dilaksanakan dengan mengambil kira faedah pinjaman dan perbelanjaan lain yang ditanggung kerajaan kini.
Ini kerana jelas beliau, model percukaian berkenaan tidak mampan, malah boleh menyaksikan negara mengumpul hutang tidak terkawal jika ia tidak dilaksanakan.
“Sebagai contoh, cukai yang dikutip oleh kerajaan di Thailand berjumlah 14.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di Singapura 13 peratus dan Vietnam 22.7 peratus.
“Berbanding dengan kita, ia adalah 11.5 peratus daripada KDNK,” katanya ketika mengemukakan soalan kepada Kementerian Kewangan.
Beliau meminta Kementerian Kewangan menjelaskan sama ada model kutipan cukai Malaysia setanding negara jiran ASEAN dan jika kerajaan boleh memastikan ia tidak terus mengumpul hutang.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara langkah yang diambil kerajaan pada waktu ini adalah menyelesaikan isu subsidi bersasar, yang menurutnya sudah bermula dengan bekalan elektrik pada Januari.
“Kami mahu meluaskan asas hasil cukai, menambah baik struktur dan perundangan cukai serta menyediakan insentif cukai,” katanya. – UTUSAN










