PETALING JAYA: Misi bantuan pasukan ketiga Sekretariat Aid4Turkiye&Syria yang diketuai PASRelief akan tertumpu di Selatan Turkiye dan Utara Syria.
Setiausaha Sekretariat Aid4Turkiye&Syria, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, pasukan tersebut yang turut bekerjasama dengan 39 NGO akan membawa bantuan untuk sumbangan pakaian di musim sejuk dan juga makanan untuk diberikan kepada mangsa terlibat.
Katanya, bantuan awal seperti makanan, pakaian musim sejuk dan khemah separa kekal yang telah menelan belanja sebanyak lebih dari RM600,000 juga telah diberikan.
“Saya mendapat maklum bahawa jumlah kematian telah mencecah lebih dari 51,000 dan kecederaan lebih dari 128,000 mangsa di kedua-dua negara tersebut. Manakala 80 peratus bangunan hancur musnah.
“Kita telah berikan sumbangan lain sebelum ini lagi iaitu sejak awal gempa bumi. Sesungguhnya segala sumbangan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah satu tanda keprihatinan kita bersama umat Islam yang ditimpa musibah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pasukan ketiga tersebut telah berlepas ke Turkiye dan Syria, semalam bagi terus memantau mangsa-mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu Isnin lalu.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pasukan itu berlepas turut menyatakan penghargaan dan semangat rakyat Malaysia untuk membantu terutamanya sukarelawan d Aid4Turkiye&Syria yang bertungkus lumus menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa bencana alam itu. – UTUSAN










