BERKELANA mengejar impian di negara luar banyak membentuk keperibadian dan menyuntik kematangan kepada penyanyi, Yuna. Dia kini lebih tenang tanpa terlalu memikirkan tanggapan serta persepsi negatif luar.
Bangga dengan pencapaian dirinya sendiri, penyanyi Terukir di Bintang itu juga lebih memberi fokus kepada keluarga, kesihatan dan kehidupannya tanpa melupakan komitmennya sebagai anak seni.
“Dulu saya terlalu mengambil serius sesuatu perkara, benda kecil pun boleh jadi besar. Tetapi sekarang saya lebih tenang. Saya telah raih pencapaian yang saya sendiri tidak sangka, walaupun ada halangan dan juga kecaman.
“Saya bangga dengan diri sendiri kerana mengejar cita-cita yang bukannya untuk meraih pujian orang.
Kalau dulu saya seorang yang terlalu bekerja keras. Tetapi apabila tua semakin mengejar usia, saya sedar itu tidak bagus.
“Kini, saya lebih fokus dengan perkara yang lebih penting seperti kesihatan, keluarga dan kehidupan,” ujar isteri kepada Adam Sinclair itu.
Bercerita tentang perkembangan seni, penantian tujuh tahun peminat penyanyi itu untuk mendengarkan lagu berbahasa Melayunya kini berakhir dengan kelahiran lagu Menanti.
Bagi penyanyi yang kini berpangkalan di Los Angeles itu, kesibukannya dalam mengejar impian di negara Uncle Sam itu membuatkan dia tidak sedar masa bergerak dengan begitu pantas dan tiba masa untuk dia kembali dengan lagu berbahasa Melayu.
“Sudah tujuh tahun rupanya. Saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas! Bagi saya, untuk menanti inspirasi itu datang adakalanya lambat dan tidak boleh dipaksa-paksa.
“Tujuh tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga saya untuk pembikinan album terdahulu. Saya harus persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat dan pandemik pula melanda.
“Terlalu banyak yang berlaku. Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk Menanti dilancarkan. Hadiah buat peminat-peminat saya,” ujar penyanyi berusia 36 tahun itu.
MENANTI, RINDU YANG TIADA BERHUJUNG
Berkongsi cerita tentang Menanti, jelas Yuna, lagu tersebut menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh, seseorang yang telah pergi namun tetap dinanti kasihnya.
“Bagi saya, apabila menulis lirik lagu ini, saya terkenangkan Allahyarhamah sepupu saya, Amy, dia juga merupakan teman baik saya.
“Hidup saya seakan hancur apabila mengetahui bahawa dirinya kini sudah pergi buat selamanya. Saya curahkan jiwa ke dalam lagu ini.
“Ketika saya perdengarkan lagu ini kepada beberapa rakan artis, mereka merasa sedih walaupun bait-bait liriknya seperti lagu cinta,” ujarnya.
Menanti merupakan hasil ciptaan sepenuhnya sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Jerman, Kenny J Macartney.
TIDAK TERBURU-BURU
Diajukan soalan tentang bila album baharunya akan dilancarkan, jelas Yuna, dia tidak mahu terburu-buru menghasilkan album seterusnya dan memilih untuk memberi fokus terhadap single dan EP (Extended Play) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya juga mahu fokus bersama keluarga dan tidak sabar menyambut lebaran bersama. Selepas berakhirnya pandemik, saya dan suami pulang ke Los Angeles setelah hampir dua tahun berada di Malaysia.
“Kami pergi ke sebuah Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan salah satunya adalah Menanti.
“Pada mulanya saya mahu menulis dalam bahasa Inggeris tetapi yang keluar adalah bahasa Melayu, Mungkin ini adalah jawapan untuk semua peminat di Malaysia,” katanya ketawa.
Dalam pada itu, Yuna juga percaya sebuah karya yang baik akan terhasil mengikut waktunya dan dia tidak suka menghasilkan sesuatu yang sambil lewa kerana merasakan itu tidak adil bagi peminat.
“Saya tidak percaya dengan multi-tasking. Saya pernah berdepan pengalaman buruk kerana itu. Kini saya lebih fokus terhadap satu-satu perkara dan hasilnya saya berjaya meraih beberapa pengiktirafan,”katanya.










