Media di Malaysia tidak bebas, tidak lapor perkara benar - Tun M

Media di Malaysia tidak bebas, tidak lapor perkara benar – Tun M

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD dan MARZUKI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan amalan laporan media terutama media arus perdana di negara ini tidak bebas akibat ‘sekatan’ pihak tertentu. 

Beliau yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, maklumat-maklumat yang disiar media hanyalah berbentuk ‘puji-pujian’ sehingga menyebabkan perkara sebenar tidak sampai kepada rakyat. 

Beliau mengaitkan amalan kebebasan media itu selepas usahanya menghadiri program Proklamasi Melayu untuk berjumpa dengan lebih ramai orang Melayu gagal direalisasi, dan hanya berjumpa pengamal media hari ini. 

“Sudah empat tempat kita lari mahu ada perjumpaan, tetapi tidak dapat. Sebab itu hari ini kita tidak dapat berjumpa dan hanya bertemu dengan media sahaja walaupun saya tahu media di Malaysia ini tidak bebas. 

“Boleh lapor berita pujian-pujian kepada si polan dan si polan. Tahulah siapa dia. Itulah media yang boleh siar sekarang ini. Kalau pun wartawan tulis berita yang benar, itu tidak dapat masuk (disiarkan). 

“Kita punya perjumpaan hari ini pun sama juga, mahu jumpa cuma buat satu deklarasi apalah sangat, bukan mahu jatuhkan kerajaan, cuma deklarasi sahaja. Itupun takut. Nampak berpeluh bila bercakap,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini hari ini. 

Antara yang hadir dalam sidang media itu Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya; Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Sidang media itu turut menyaksikan kesemua pemimpin dan penyokong menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang mengandungi 12 perkara. 

Pagi tadi, Utusan Online melaporkan, program Proklamasi Melayu di lokasi ketiga yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Selayang (IDCC) pukul 3 petang tadi dibatal pada saat akhir, selepas berlaku pertukaran di dua lokasi terawal di sebuah hotel di ibu negara dan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara. 

Semalam, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, lokasi kedua bagi penganjuran program itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, terpaksa dibatal.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk cuba mengadu domba dan menghangat suhu kaum dan agama di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mendakwa, pentadbiran kerajaan kini lebih zalim daripada penjajah British kerana orang Melayu masih boleh berkumpul dan bersuara ketika pemerintahan zaman itu. 

Katanya, pembatalan perjumpaan Proklamasi Orang Melayu sebanyak empat kali mungkin disebabkan tangan ghaib yang takutkan bayang-bayang sendiri.

“Mereka takut segala salah laku mereka akan terbongkar apabila orang Melayu bersatu dan sedar perbuatan mereka selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, program berkenaan bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya hanya untuk menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah. 

Ekoran pembatalan program berkenaan, kata Marzuki, maklumat terkini pergerakan jawatankuasa berkenaan akan dihebahkan kepada semua rakyat melalui pelbagai saluran termasuk media sosial. 

“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik, sebaliknya gerakan ini hanya mahu menyatukan orang Melayu yang kini semakin berpecah akibat politik negara,” katanya. -utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya