Martabat program dan aktiviti berteraskan pendidikan al-Quran - Utusan Malaysia

Martabat program dan aktiviti berteraskan pendidikan al-Quran

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Perlis di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Inisiatif dalam mewujudkan program dan aktiviti berteraskan pendidikan al-Quran perlulah dimartabatkan dalam kehidupan umat Islam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara program yang perlu dipergiatkan antaranya seperti kelas-kelas pengajian seperti kelas bacaan al-Quran, tajwid, hafazan, dan tafsir

“Ia perlu dipergiatkan supaya masyarakat Islam lebih terdidik untuk mencintai al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri ini anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM di sini, malam tadi.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Exco kerajaan negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.

Turut hadir, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan isteri.

Tambah baginda, al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dijadikan pedoman dan panduan hidup dalam kehidupan harian.

Baginda bertitah, hal ini meliputi seluruh aspek kehidupan sama ada akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

“Maka, seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT berusaha untuk mendalami isi kandungannya agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

“Antara faktor utama kekuatan umat Islam ialah keteguhan dalam berpegang dan beramal dengan pedoman al- Quran dan pendidikan yang sempurna mengenainya yang mampu melahirkan umat Islam yang hebat dan berdaya saing.

“Ia juga akan menjadi benteng dalam menyekat anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan akidah dan prinsip agama seseorang Muslim,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.