JASIN: Jasin terus menjadi daerah paling terjejas di Melaka akibat banjir susulan hujan lebat yang berterusan melanda seluruh negara sejak Selasa lalu.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, jumlah mangsa terjejas di dua daerah meningkat kepada 380 orang berbanding hanya 162 orang hari sebelumnya.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, situasi banjir di negeri ini masih terkawal dengan hanya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu lima di Jasin dan satu di Alor Gajah.
Beliau berkata, kuantiti air hujan yang turun secara berterusan melebihi 24 jam menyebabkan berlaku peningkatan paras air di lembangan sungai.
‘“Peningkatan paras air menyebabkan limpahan air berlaku di kawasan kediaman penduduk yang rendah dan berisiko dinaiki air banjir.
“Kumulatif air hujan pada Rabu lalu di beberapa lokasi Stesen Telemetry Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan bacaan mencecah 100 milimeter (mm),” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Jelas Kamarulsyah, kawasan yang terjejas di Jasin membabitkan Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong, Sempang Bekoh dan Kampung Tersusun Seri Mendapat.
Turut dinaiki air adalah Kampung Janda Berhias, Kampung Parit Penghulu, Kampung Tasik, Kampung Batu Gajah Pasir, Parit Putat Benteng, Parit Sidang Seman Benteng dan Batu Gajah Jalan Simen.
“Kesemua mereka yang berjumlah 365 orang terdiri daripada 90 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong, SK Seri Mendapat, SK Parit Penghulu, SK Parit Gantong dan SK Batu Gajah.
“Di Alor Gajah hanya ada satu PPS dibuka iaitu di Balai Raya Bukit Tambun yang menempatkan 15 mangsa daripada tujuh keluarga. Kawasan yang terjejas adalah Kampung Bukit Balai, Kampung
Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Panchur, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau,” jelasnya. – UTUSAN










