KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri berputih mata selepas wang simpanan berjumlah RM1 juta yang dilaburkan mereka lesap ditipu syarikat pelaburan yang dipercayai berpangkalan di luar negara.
Mereka adalah antara kira-kira 3,000 individu yang didakwa menanggung kerugian mencecah RM830 juta selepas ditipu syarikat pelaburan berkenaan.
Modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan menawarkan dividen tinggi antara 15 hingga 17 peratus bagi menarik minat pelabur.
Pasangan berusia 50-an dan merupakan pesara syarikat swasta itu dipercayai membuat pelaburan berkenaan secara berperingkat selepas diperkenalkan oleh ejen pada 2020.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmah berkata, wang simpanan miliknya bersama suami lebur setelah gagal menikmati sebarang hasil pulangan.
“Kebetulan saya dan suami merancang menambah simpanan untuk masa depan, jadi setelah meneliti dokumen-dokumen yang ditunjukkan, kami terus menyertai pelaburan tersebut,” katanya semalam.
Mereka antara 150 mangsa penipuan yang hadir mengadakan sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di depan Ibu pejabat Polis Daerah Sentul Kuala Lumpur di sini.
Ujar Rahmah, keadaan mula berubah apabila pulangan gagal diperoleh selepas tiga bulan seperti yang dijanjikan.
“Kebetulan ketika itu sewaktu pandemik Covid-19, alasan yang diberikan adalah perniagaan mengalami kemerosotan mengakibatkan pulangan dividen para pelabur terpaksa ditangguhkan.
“Mulanya alasan demi alasan lain diberikan, namun tidak beberapa lama syarikat terus menyepikan diri tanpa menghantar sebarang maklum balas kepada kami,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Fazlifah Awang, 48, berkata, hubungan bersama adik beradiknya retak setelah wang lebih RM300,000 lesap akibat penipuan pelaburan berkenaan..
“Saya mengajak kakak dan abang untuk sertai dan kami laburkan wang bersama dalam pelaburan ini. Mereka memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada saya berkaitan pelaburan ini, namun saya sedih, akibat penipuan ini hubungan kami menjadi masalah.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua mangsa terlibat dalam lima jenis pelaburan yang diperkenal oleh sebuah syarikat pengurusan pemasaran.
Katanya, mangsa memaklumkan bahawa mereka diperkenalkan dengan beberapa jenis tawaran pelaburan seperti melalui tabung amanah, pembelian saham, melalui short term note dan penerbitan sukuk.
“Kesemua pelaburan yang ditawarkan ini melibatkan tempoh masa tertentu manakala keuntungan atau dividen yang ditawarkan juga adalah sangat menarik,” katanya
Menurut Hishamuddin, masalah mula timbul apabila mangsa tidak lagi menerima bayaran dividen serta keuntungan seperti dijanjikan.
“Lebih menyedihkan apabila wang pelaburan mangsa tidak dipulangkan semula oleh syarikat-syarikat terlibat. Pada masa sama mangsa dimaklumkan bahawa pihak pengurusan pemasaran yang memasarkan skim-skim pelaburan tersebut adalah pihak yang sama terlibat sebagai pengurusan syarikat yang telah menerima wang-wang pelaburan pelabur,” katanya..
Dalam pada itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan menyarankan kerajaan mewujudkan satu akta baharu dalam menghapuskan pelbagai elemen kegiatan jenayah penipuan termasuk pelaburan saham bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa.
Jelas beliau, langkah mewujudkan akta baharu berkaitan penipuan pelaburan itu juga sekali gus dapat memperkasa sebarang tindakan yang ada kelompongan. – UTUSAN










