Malaysia import RM267.8 juta kurma tahun lalu - DOSM

Malaysia import RM267.8 juta kurma tahun lalu – DOSM

TIGA negara teratas bagi import kurma tahun lalu iaitu Tunisia, Arab Saudi dan Iran. - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA: Kurma adalah makanan yang wajib ada bagi umat Islam di Malaysia khususnya setiap bulan Ramadan.

Tapi, tahukah bahawa Malaysia mengimport RM267.8 juta kurma pada tahun lalu dari beberapa negara bagi keperluan umat Islam di negara ini.

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, tiga negara import teratas iaitu Tunisia dengan nilai import sebanyak RM80.7 juta (30.2 peratus), Arab Saudi (RM50.6 juta) mewakili 18.9 peratus dan Iran (RM38.9 juta) mewakili 14.5 peratus.

Dalam pada itu, DOSM turut menyenaraikan tiga negeri tertinggi mengimport kurma beberapa bulan sebelum Ramadan iaitu Pulau Pinang dengan RM20.3 juta, diikuti Selangor RM15 juta dan Kuala Lumpur (RM6.9 juta).

“Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor kekal sebagai pengimport utama kurma tertinggi sejak Februari 2021,” katanya.

Sementara itu, sempena bulan Ramadan, DOSM turut berkongsi jumlah masjid mengikut negeri dengan Sabah memiliki masjid paling banyak iaitu 1,141 buah diikuti Johor (850), Perak (706), Pahang (652), Kelantan (600), Kedah (594) dan Terengganu (514).

Selain itu, Selangor dengan 442 buah masjid, Sarawak (408), Negeri Sembilan (305), Pulau Pinang (214), Melaka (201), Perlis (106), Kuala Lumpur (84), Labuan (15) dan Putrajaya (3). – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN