PETALING JAYA: Sebanyak 66 peratus daripada 191 jawatan ketua UMNO bahagian di seluruh negara bakal menyaksikan pertandingan pada Pemilihan UMNO 2023 pada 18 Mac ini.
Selepas tarikh tutup pendaftaran pada 26 Februari lalu, terdapat 127 ketua UMNO Bahagian yang berhadapan dicabar membabitkan antara dua dan empat penjuru manakala selebihnya menang tanpa bertanding.
Kedudukan ketua UMNO bahagian secara tidak langsung mempengaruhi konsep ‘satu bahagian satu undi’ yang diguna pakai untuk pemilihan kepemimpinan baharu parti di mana satu bahagian memberi satu undi bagi menentukan kemenangan calon bertanding.
Antara yang akan bertanding untuk jawatan ketua UMNO bahagian ialah antara bekas Menteri Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi bahagian Pontian.
Nama-nama besar yang menang tanpa bertanding sebagai ketua UMNO bahagian ialah Ahmad Zahid (Bagan Datuk), Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap).
Selain itu, nama-nama kali pertama bertanding juga menang tanpa bertanding antaranya Menteri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Simpang Renggam dan Datuk Rozabil Abd. Rahman (Arau).
Walaupun kepemimpinan UMNO berulang-kali menegaskan tidak wujud kem dalam pemilihan kali ini, sejak kebelakangan ini timbul kecenderungan dalam akar umbi termasuk di peringkat bahagian membabitkan dua kumpulan memihak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan sebaliknya.
Dalam persaingan perebutan 191 Ketua UMNO Bahagian, Selangor menjadi negeri tertinggi menyaksikan perebutan jawatan Ketua Bahagian membabitkan 20 daripada 22 kawasan diikuti Johor (19 kawasan), Perak (18), Sabah (17), Kedah (14), Wilayah Persekutuan (sembilan), Pahang (lapan), Kelantan (tujuh), Terengganu (lima), Melaka (empat), Negeri Sembilan (empat) dan Perlis (dua).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar, perebutan semua jawatan termasuk ketua UMNO bahagian menggambarkan persaingan proksi yang berlaku dalam parti itu.
Katanya, keadaan itu juga mencerminkan berlaku angin perubahan dalam parti setelah mengalami kekalahan dalam dua siri pilihan raya umum (PRU) khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan UMNO hanya menang 26 kerusi Parlimen.
“Kemunculan pihak yang tidak berpuas dengan kepimpinan parti menyebabkan mereka menawarkan diri untuk menguasai tampuk kepimpinan bahagian yang merupakan penggerak utama masa depan UMNO.
“UMNO tidak seperti parti lain seperti Pas dan PKR dengan kepimpinan bahagian boleh mempengaruhi kedudukan jawatan utama parti, ini kerana sistem pemilihan itu sendiri yang digunakan dalam parti itu. Jika semua Ketua UMNO Bahagian sokong Presiden, maka kedudukannya tidak tergugat.
“Justeru itu, wujud kelompok yang merasakan kepimpinan bahagian perlu dikuasai proksi tertentu agar kehadiran mereka boleh mengubah masa depan parti selepas 18 Mac nanti,” katanya.
Pemilihan berbaki dua minggu lagi menyaksikan semua jawatan kecuali Presiden dan Timbalan Presiden bertanding termasuk membabitkan perebutan jawatan tiga Naib Presiden, 25 ahli Majlis Tertinggi (MT), Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta exco ketiga-tiga sayap pergerakan.
Sebanyak 383 calon layak bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023 yang membabitkan semua jawatan di peringkat kepemimpinan Pusat parti termasuk Naib Presiden dan ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri.
Sebaliknya Mazlan menambah, sebarang perubahan kepimpinan UMNO bulan depan dijangka tidak menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan kerana Presiden masih disandang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Selagi Datuk Seri Zahid menjadi Presiden parti, UMNO dan Barisan Nasional tetap menjadi sebahagian kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Namun beliau memberitahu, sekiranya UMNO dan BN menarik sokongan sekali pun, kerajaan perpaduan masih kukuh dengan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPR) serta parti-parti lain dan wakil rakyat Bebas.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memaklumkan secara keseluruhan, seramai 383 calon bertanding merebut jawatan di peringkat UMNO pusat, termasuk dua pencalonan bagi Pengerusi Tetap UMNO dan 10 bagi Timbalan Pengerusi Tetap.
Hari ini pula ditetapkan proses cabutan undi nombor calon yang bertanding di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan mana-mana calon ingin menarik diri pencalonan boleh berbuat demikian sebelum cabutan undi dilakukan. – UTUSAN










