PETALING JAYA: Majikan swasta di negara ini melahirkan rasa hairan dengan dakwaan graduan tentang kekurangan pekerjaan di pasaran sehingga menyebabkan mereka sukar mendapat kerja.
Mereka mendakwa, banyak syarikat yang memerlukan pekerja dan graduan dinasihat supaya sentiasa mengintai peluang tersebut apabila pameran kerjaya diadakan di kawasan mereka seperti Pameran Kerjaya Talentbank yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid .
Ketua Jabatan Sumber Manusia Top Glove, Melissa Cheo berkata, Top Glove menawarkan lebih daripada 100 peluang pekerjaan pada festival itu untuk graduan baharu dan juga peringkat yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, 70 peratus pekerja syarikat kami adalah daripada generasi Z iaitu dalam umur 30 ke bawah kerana asas syarikat kami bermula dengan golongan muda.
“Kami memang sentiasa membuka jawatan kosong dari semasa ke semasa dan ini adalah masa terbaik untuk bertemu dengan graduan baharu sebelum mereka memulakan perjalanan kerjaya mereka.
“Di Top Glove, hampir setiap jabatan mempunyai kekosongan iaitu di jabatan pembuatan, korporat, sumber manusia, kewangan dan operasi.
“Kami menyasarkan lebih 100 orang akan diambil bekerja selepas pesta kerjaya ini tetapi kami bukan satu-satunya syarikat di sini hari ini, jadi persaingan tinggi juga untuk merebut calon yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada pameran itu.
Pameran selama dua hari bermula semalam itu dari pukul 10 pagi hingga 6 petang memberi peluang kepada graduan dan pencari kerja untuk berhubung bersama lebih 100 syarikat terkemuka seperti Nestle, Maxis, Huawei, CIMB, Blacksire dan Shell.
Terdapat lebih 10,000 peluang pekerjaan tersedia dalam pelbagai industri termasuk perakaunan, audit, percukaian, perbankan, teknologi dan pengkomputeran, perkhidmatan pelanggan, kejuruteraan, sumber manusia, pemasaran dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Ketua Sumber Manusia dan Pemerolehan Bakat AIA Shared Services, Prema Arumugam berkata, peluang pekerjaan terbuka luas terutamanya untuk pelajar daripada bidang teknologi, perakaunan dan kewangan.
“Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 100 kekosongan dalam AIA Shared Services dan AIA Digital Hab IT yang menawarkan peluang kerja termasuk di peringkat latihan industri sehingga pengurusan atasan.
“Kami jangkakan lebih 500 calon akan memohon dengan kami,” katanya.
Eksekutif Sumber Manusia Aeon Credit Service, Nur Syamimi Alias pula berkata, syarikat yang berpangkalan di Japun itu baru sahaja menerima lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM), oleh itu mereka sedang berkembang dan lebih banyak kekosongan jawatan tersedia.
“Kami menawarkan jawatan untuk peringkat pengurusan seperti penolong pengurus dan jawatan yang lebih tinggi daripadanya.
“Kelayakan diploma, ijazah atau apa-apa yang serupa diterima daripada mana-mana bidang pengajian tetapi terutamanya daripada perbankan, kewangan dan perniagaan.
“Peluang pekerjaan dibuka luas depan mata untuk semua golongan umur daripada apa jua latar belakang, jadi inilah masanya untuk graduan baharu dan pencari kerja merebut peluang,” katanya.
Sementara itu seorang pencari kerja yang mahu dikenali sebagai Rachael, 27, berkata, dia sudah setahun bekerja dalam bidang pereka grafik dan ingin mencari peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih bagus terutama dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menyokong pendapat yang sama, Azliana, 26, berkata, dia ssudah tiga tahun bekerja dalam bidang pentadbiran dan berharap mendapat majikan lain dengan gaji yang lebih baik.
“Tetapi banyak syarikat menawarkan gaji yang tidak setimpal dengan pengalaman dan kos sara hidup di Kuala Lumpur,” katanya.
Seorang jurutera pembelajaran mesin di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka, R. Perivitta pula pula berkata, dia sedang mencari peluang pekerjaan dalam bidang sains data dan pembelajaran mesin.
“Saya berharap dapat bekerja dengan bank antaranya Allianz, Public Bank atau AIA namun, persaingan agak tinggi dengan beribu graduan seluruh Malaysia sedang mencari peluang pekerjaan,” ujarnya. – UTUSAN










