PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) komited untuk mengoptimumkan pengeluaran padi di kawasan itu dari semasa ke semasa.
Dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, MADA berkata, perolehan hasil padi bergantung kepada pelbagai faktor seperti keadaan cuaca, tahap kesuburan tanah, serangan perosak penyakit dan sebagainya sedikit sebanyak menyumbang kepada trend pengeluaran padi MADA.
Justeru katanya, beberapa langkah proaktif sedang diambil pihaknya bagi menangani permasalahan membabitkan sektor pengeluaran padi seterusnya meningkatkan hasilnya.
“Pertama dengan cara memperkenalkan pendekatan penanaman skala besar yang menekankan aspek pengurusan secara berpusat dan pertanian kontrak.
“Kaedah ini dapat meningkatkan produktiviti tanaman padi selain daripada manfaat penggunaan teknologi terkini, kos pengurusan efektif, pembiayaan modal kerja dan juga sokongan agensi kerajaan, pembekal input dan juga kejenteraan,” katanya.
Langkah kedua, kata MADA, adalah melalui kaedah meningkatkan kepadatan infrastruktur pertanian di kawasan sawah padi daripada 18 meter per hektar sedia ada kepada 30 meter per hektar melalui Projek Pemacu Pertanian (PPP).
“Berdasarkan perancangan, sejumlah 43 blok pengairan akan dibangunkan sistem pengairan tersier bermula daripada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sehingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya.
Selain itu, MADA juga aktif menjalankan kempen-kempen peningkatan hasil padi yang dilaksanakan di lapangan seperti kempen penggunaan benih padi sah, kawalan perosak dan penyakit, pematuhan jadual penanaman dan sebagainya.
“Program pengembangan MADA pada tempoh semasa turut memperkenalkan aktiviti berupa pemantauan melalui program pengawasan dan ramalan (P&R), Program Alert And Awareness, penerbitan bahan pengembangan dan juga Kembara Padi,” katanya.
Menjelaskan lanjut, MADA berkata, dalam usaha mengoptimumkan pengeluaran padi, pihaknya juga memperkenalkan penggunaan sistem GIS sebagai medium atau alat membuat keputusan dan tindakan spesifik seperti pelaporan serangan perosak, penyakit dan bencana tanaman padi.
“Amaran awal yang dikeluarkan dapat membantu peladang meminimum serangan terutamanya perosak dan penyakit tanaman padi sekaligus membantu memastikan pendapatan peladang tidak terjejas.
“Selain itu, MADA juga bekerjasama dengan pihak dan agensi yang berpotensi menghasilkan penyelidikan berkaitan pembangunan tanaman padi seperti Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pengeluar input pertanian dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










