Lebih 50 ahli UMNO Perak sabotaj parti semasa PRU15 dipecat - Utusan Malaysia

Lebih 50 ahli UMNO Perak sabotaj parti semasa PRU15 dipecat

SAARANI Mohamad (tengah) melihat pameran jualan pada Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 50 ahli UMNO di negeri ini dipecat kerana mensabotaj parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, UMNO Bahagian Larut sahaja seramai 17 ahlinya dipecat kerana kesalahan mensabotaj parti.

Menurutnya, mereka dikenakan tindakan itu kerana mensabotaj parti antaranya atas kesalahan secara jelas menjadi pencadang atau penyokong kepada calon pembangkang atau menjadi calon daripada pembangkang.

“Ada juga orang mereka tidak menjadi calon, pencadang atau penyokong kepada pembangkang tetapi semasa tempoh berkempen dia terang-terang sama ada berceramah atau membawa bendera pembangkang ataupun berkempen.

“Yang ini kita dapat laporan dan kita hantar laporan kepada jawatankuasa lembaga disiplin negeri dan Pusat dan sebahagian daripada mereka telah dipecat.

“Yang saya ingat daripada Larut ada 17 orang dan beberapa tempat lain memang sudahpun dipecat. Yang lain, kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti akan mengumumkan siapa yang dipecat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai Pemilihan UMNO semalam, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, walaupun tiada keputusan muktamad lagi kerana sedang menunggu keputusan rasmi daripada Ibu Pejabat UMNO, beliau meninjau, memantau dan mendapatkan laporan dari segi perjalanan mesyuarat.

Menurutnya, setakat ini tiada berlaku kekecohan yang serius dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) bertugas dengan baik malahan kebanyakan dari mereka telah mengambil pengalaman pada pemilihan peringkat sayap pada 11 Mac lalu untuk mereka memperbaiki.

“Saya meninjau dan mendapati prosesnya berlaku begitu sempurna. Saya harap mereka yang dipilih bersyukur dan berterima kasih dan berazam untuk memberi perkhidmatan yang baik.

“Yang tidak berjaya, jangan putus asa, jangan merajuk, jangan sabotaj parti kerana kalau nak bagi sumbangan, kita boleh bagi sumbangan dalam apa jua keadaan. Jadi (menang) ketua bahagian,  jadi timbalan ataupun menjadi ahli biasa pun kita masih boleh terus memberi sumbangan,” katanya.

Ditanya bagaimana untuk memastikan UMNO kekal bersatu selepas pemilihan, Saarani berkata, mereka yang menang diharap tidak menyisihkan pihak yang kalah kerana mereka (yang kalah) juga masih ahli UMNO.

Katanya, calon yang kalah pula diharap jangan merajuk, jangan kecil hati dan mahu lawan pada pemilihan akan datang.

“Siapa juga yang ingin bertanding kena bersedia risiko kalah, kalau tak mahu risiko kalah jangan bertanding, sebab kalau bertanding ada dua sahaja, kalah atau menang.

“Orang yang menang jangan ambil semua, orang yang kalah tidak hilang semua. Yang menang itu bernasib baik secara kebetulan kita perlu seorang ketua bahagian sahaja. Yang bertanding berdua, tentulah seorang sahaja menang, semua jawatan begitu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.