Lawatan luar negara: saya tidak pernah disambut pegawai rendah - Tun M

Lawatan luar negara: Saya tidak pernah disambut pegawai rendah – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad bercakap dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan beliau tidak pernah disambut ‘pegawai rendah’ ketika mana-mana lawatan rasmi ke luar negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Itu jelas Dr. Mahathir ketika mengulas isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang disifatkan sebagai gagal kerana tidak berkesempatan bertemu pemimpin utama negara itu.

“Ketika saya jadi Perdana Menteri dan membuat lawatan rasmi di banyak negara, tidak ada satu negara pun yang tidak sambut saya dan saya disambut oleh ketua negara.

“Tidak tahulah kenapa, saya pun tidak faham kenapa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman tidak mahu jumpa Anwar.

“Tetapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tidak tahulah yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa dengan Anwar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, beliau juga difahamkan, ketibaan Anwar di Arab Saudi hanya disambut pegawai yang berpangkat rendah.

Sebelum ini, blok pembangkang menuntut Perdana Menteri menjawab persoalan berhubung lawatan rasminya ke Arab Saudi.

Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri dianggap gagal dan memalukan negara kerana tidak berjumpa dengan pemimpin negara itu.

Terdahulu, Anwar menjelaskan beliau terpaksa menolak permintaan Kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan tempoh lawatannya untuk sesi perjumpaan dengan Raja Salman ekoran jadual padat untuk berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong serta perlu berangkat ke Kemboja dan seterusnya ke China untuk bertemu dengan Presiden negara itu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN