Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900 - Utusan Malaysia

Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 sejak 2016 hingga 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 sejak 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Muhamad A. Jalalal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Bukit Aman didakwa menerima RM900 daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Company Sdn. Bhd.

Dia didakwa menerima rasuah itu daripada pengarah syarikat menerusi akaun bank CIMB yang mana syarikat itu terbabit dengan kerja-kerja rasmi membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muhamad dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bank Maybank dan CIMB di Jalan Bahru, Taman Chai Leng dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara November 2016 hingga Februari 2018.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad yang kini bertugas sebagai Lans Koperal Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak sambil menahan sebak memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan perlu menanggung anak autisme dan bapa yang menghidap sakit jantung selain baru kematian bapa mentua.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Muhamad turut diperintahkan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga perbicaraan selesai serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 April depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya