Laksana semula Kempen Pemilikan Rumah

Laksana semula Kempen Pemilikan Rumah

HISAMUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dicadangkan untuk kembali melaksanakan Kempen Pemilikan Rumah sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini agar dapat membantu mereka yang ingin memiliki rumah sendiri.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, rakyat pada masa ini menghadapi kesusahan dalam aspek pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Pada masa sama, katanya, masih ramai warga kota Kuala Lumpur golongan B40 masih menunggu dalam sistem pemohonan untuk menyewa rumah kos rendah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Apakah usaha-usaha kerajaan untuk menangani masalah tempoh menunggu yang terlalu lama, dan apakah rancangan membina rumah-rumah kos rendah bagi membantu golongan B40 ini masih diteruskan? ” soalnya dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia mendedahkan, 51 peratus responden menyatakan mereka tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Malah, katanya, keadaan menjadi teruk apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik sebanyak 25 mata asas pada 3 November 2022, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut bagi tahun lepas dan menjadikan kadar OPR sekarang adalah 2.75.

Jelasnya, keadaan ekonomi yang belum pulih berserta dengan inflasi telah menjadikan isu pemilikan rumah golongan B40 sukar tercapai.

Dalam pada itu, berhubung isu banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Hisamudin berkata, keadaan itu disebabkan permasalahan dalam saliran dan pembangunan selain kadar taburan hujan yang semakin bertambah tahun demi tahun.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kolam takungan banjir ditambah dan kolam takungan sedia ada didalamkan supaya aliran air dapat dilarikan dengan kadar lebih cepat bagi mengelakkan banjir kilat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya