Kumpul pakaian sekolah terpakai ringankan beban ibu bapa - Utusan Malaysia

Kumpul pakaian sekolah terpakai ringankan beban ibu bapa

FARID Suwardi membantu salah seorang murid mengenakan pakaian sekolah terpakai yang dikumpulkan bagi membantu meringankan beban ibu bapa di Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat di sini mengambil inisiatif mengumpul pakaian sekolah terpakai untuk disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Inisiatif menerusi Program Rahmah PIBG ‘Bajuku Kini Bajumu’ itu diadakan dengan kerjasama alumni sekolah berkenaan dan dilancarkan sejak 20 Februari lalu.

Yang Dipertua PIBG SK Permatang Tok Mahat, Farid Suwardi berkata, inisiatif yang bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam membeli keperluan persekolahan anak-anak itu mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Jelas beliau, setiap kali penggal persekolahan baharu akan bermula, golongan ibu bapa terpaksa berbelanja besar untuk menyiapkan keperluan berkaitan.

“Ditambah dengan ketibaan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, perbelanjaan keluarga juga pastinya akan bertambah bagi menyambut perayaan.

“Jadi, program ini dilaksanakan dengan mengumpul pakaian sekolah yang masih elok untuk digunakan pelajar-pelajar daripada keluarga yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Farid berkata, kebanyakan ibu bapa di daerah itu terdiri daripada pekerja kampung yang kebiasaannya memperoleh pendapatan rendah.

“Ini adalah salah satu cara untuk kita bantu mereka iaitu dengan mengumpulkan uniform sekolah, pakaian sukan, baju pasukan unit beruniform dan baju pengawas yang masih elok untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.

“Sambutan yang diterima memang menggalakkan apabila ramai ibu bapa datang mengambil pakaian yang diletakkan di premis Pusat Mencuci Kenderaan Yuhaso berhadapan Hospital Parit Buntar.

“Waris dan ibu bapa boleh mengambil pakaian di sini bermula jam 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyumbang menerusi program tersebut boleh menghantar pakaian sekolah terpakai ke pusat pengumpulan atau menghubungi Farid di talian 013-4988 883. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya