Kuasa autonomi universiti benar pemimpin politik masuk kampus

Kuasa autonomi universiti benar pemimpin politik masuk kampus

MOHAMED Khaled Nordin ketika persidangan Dewan Negara, di Parlimen. - GAMBAR JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR: Kebenaran untuk mana-mana pemimpin politik masuk ke universiti adalah di bawah kuasa autonomi universiti itu sendiri dan bukannya kementerian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pihak universiti boleh membenarkan atau tidak mana-mana pemimpin politik masuk ke universitinya.

“Kementerian tidak mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin politik masuk ke universiti. Ini selalu ada salah faham. Kementerian kita tak jaga hal itu.

“Itu di bawah kuasa autonomi universiti. Tiada masalah untuk memasuki universiti, tapi sekurang-kurangnya maklum kepada mereka (pihak berkuasa universiti),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa kementerian di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa menguruskan sendiri akaun dan kewangan persatuan.

Katanya, ia akan mengurangkan kebergantungan para pelajar kepada universiti dari segi pembiayaan aktiviti yang dijalankan mereka sendiri.

“Apabila kita membolehkan mahasiswa mengurus kewangan mereka, termasuk mendapat dan mencari dana, kebergantungan kepada universiti untuk pembiayaan segala aktiviti pelajar wajar dan sepatutnya dikurangkan,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN