Konsesi Puspakom dilanjutkan 15 tahun lagi

Konsesi Puspakom dilanjutkan 15 tahun lagi

ANTHONY Loke ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melanjutkan perjanjian konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selama 15 tahun lagi berkuatkuasa 1 September 2024 dengan penambahbaikan terma-terma perjanjian sedia ada.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, menerusi persetujuan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu, Puspakom turut diminta melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk meningkatkan tahap kompetensi kakitangan, menambah baik proses penempahan dan aduan pelanggan serta memasang sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di semua pusat pemeriksaan.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  akan turut menambah baik aspek pemantauan, pengawalseliaan dan auditan ke atas semua pusat dan aktiviti pemeriksaan Puspakom di sepanjang tempoh perjanjian konsesi berkuat kuasa.

Katanya, kerajaan juga bersetuju supaya perkhidmatan pemeriksaan berkala bermotor bagi JPJ dibuka kepada mana-mana pihak berkelayakan berkuat kuasa 1 September 2024.

Katanya, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran perkhidmatan berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat.

“Serentak itu, kami turut mempelawa pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan bermotor yang dijangka bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama 2024.

“Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ akan membangunkan syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan itu diwajibkan memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang dikenakan kepada Puspakom di bawah Perjanjian Konsesi.

Loke berkata, syarat berkenaan termasuk kewajipan melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja selain menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

Menurutnya, pihak lain itu juga perlu menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya.

“Mereka juga hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang ditetapkan dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan atau ubah suai kenderaan serta penjualan alat ganti,” katanya.

Jelasnya lagi, MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada perkhidmatan itu.

Katanya, mana-mana pihak yang berjaya memenuhi semua syarat ditetapkan akan dipelawa dan dibenarkan beroperasi sebagai pusat pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak JPJ pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya