Kes kedua Rosmah bicara depan hakim baharu - Utusan Malaysia

Kes kedua Rosmah bicara depan hakim baharu

ROSMAH Mansor hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadap Datin Seri Rosmah Mansor akan mula dibicarakan Mei ini dan dijalankan di hadapan hakim baharu.

Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan namun kini ia akan didengar oleh Hakim K. Muniandy selepas hakim terdahulu telah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim Mohamed Zaini merupakan hakim sama yang menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Sementara itu, tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini masih dikekalkan.

Isteri bekas Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan mula dibicarakan pada 12 Mei diikuti pada 28 Mei dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Terdahulu dalam pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan dijangka seramai 15 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya