Kertas siasatan kes pegawai kanan polis, isteri  diserah kepada timbalan pendakwa raya

Kertas siasatan kes pegawai kanan polis, isteri diserah kepada timbalan pendakwa raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis belum memperoleh maklum balas daripada timbalan pendakwa raya berhubung dakwaan kes pukul membabitkan bekas pegawai kanan tertinggi polis dan isteri keduanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan mengenai kes itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Timbalan pendakwa raya memerlukan sedikit masa untuk mengkaji kertas siasatan itu (untuk tindakan selanjutnya).

“Justeru kita belum memperoleh maklum balas daripada perbincangan awal yang telah kita buat. Kita tunggu dulu,” katanya mengulas perkembangan kes itu ketika ditanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti, Town Hall sempena Hari Polis ke-216 ‘Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalu lintas di Kuala Lumpur’ di KL Wellness City Gallery, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira pukul 8 malam pada 6 Mac lalu, isteri kedua kepada bekas pegawai kanan tertinggi polis itu membuat laporan mendakwa dipukul suaminya di kediaman mereka, di sini.

Wanita itu membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Mengikut laporan media, difahamkan kejadian itu berlaku selepas tercetus pergaduhan antara pasangan suami isteri berkenaan yang dipercayai berpunca daripada isu harta serta nafkah.

Wanita berusia lingkungan 40-an itu mendakwa dipukul suaminya di bahagian kepala dan belakang leher.

Sementara itu, bekas pegawai polis berusia lingkungan 70-an terbabit turut membuat laporan menerusi peguamnya di balai polis sama kira-kira pukul 3 petang pada 7 Mac lepas.

Beliau membuat laporan menyatakan  dipukul menggunakan topi keledar dalam kejadian itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN