Mukadimah
Meskipun pergerakan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Pakatan Harapan (PH), MOHD. SANY HAMZAN sedikit terbatas dan memerlukan tongkat, namun, keadaan itu tidak menghalangnya untuk terus agresif ketika berada di Dewan Rakyat. Hampir setiap perbahasan wakil rakyat lain, beliau sentiasa ada berdiri dan mencelah menggunakan nada dalam frekuensi tinggi. Sehingga ada cakap-cakap orang luar sudah meluat dengan caranya seperti itu. Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu Mohd. Sany di Parlimen semalam bertanya isu tersebut.
Ada cakap-cakap mengatakan orang luar meluat dengan sikap Yang Berhormat (YB) di Dewan Rakyat yang suka menjerit dan sentiasa mencelah dalam perbahasan. Komen?
Itulah dia seorang wakil rakyat dari Parlimen Hulu Langat. Berbeza dari yang lain. Kalau lihat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun, itulah saya realitinya. Saya tidak boleh berpura-pura, saya cuma menyampaikan hasrat dan juga luahan saya. Yalah, manusia ini Allah SWT cipta pelbagai jenis sifatnya, jadi, saya juga ada strategi dalam menyampaikan maklumat supaya kerajaan mengambil tindakan.
Yang merasakan saya meluatkan, biarkanlah mereka namun yang penting, isu-isu saya sampaikan itu di dalam Dewan Rakyat, supaya kebajikan rakyat saya terus terbela. Kalau ikutkan, ahli-ahli Parlimen terdahulu pun, saya rasa mereka lebih ekstrem, menggunakan perkataan tidak sepatutnya semasa bersidang. Cuma, mungkin saya ini dilihat agak keras dan tegas.
Ada juga mempertikai ciri-ciri kepemimpinan YB?
Kita tidak boleh puaskan hati semua orang, ada sahaja saya terjumpa dan mendatangi saya menerima cara saya sebegini. Jadi, kalau kata 222 ahli Parlimen semua sifatnya sama sahaja, maka tidak meriahlah kehidupan kita di dalam Dewan ini. Malah, makanan sendiri pun ada pelbagai jenis rasanya, ada pedas, masin, masam dan tawar.
Adakah celahan dan kritikan YB hanya terikat kepada pembangkang?
Tidak, kerajaan pun saya akan hentam jika ada dasar-dasar tidak betul pada pandangan saya. Ada juga kata kalau kerajaan sesama kerajaan saling menghentam, ia boleh dijadikan kesempatan untuk pembangkang tunjukkan kami ini bermasalah. Sebenarnya tidak, mana yang betul katakan ia betul, kalau salah katakan salah walaupun mereka itu dalam kalangan pimpinan atau parti politik yang sealiran. Hidup kita ini putih atau hitam sahaja, kita diajar jika perkara itu baik, kena puji dan hargai. Kalau sebaliknya, maka nyatakan dan baiki.
Apa pandangan YB tentang kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tentang ‘rancangan tumbangkan kerajaan’?
Walaupun Malaysia adalah negara demokrasi, kena faham kita baru sahaja selesai pilihan raya umum. Rakyat sudah muak dengan orang politik yang begini. Jadi, sudah-sudahlah dengan tindakan seperti ini. Kalau mahu ambil alih kerajaan, tunggulah pilihan raya seterusnya. Beri ruang dan masa pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara kerana kerajaan ini adalah kerajaan yang dipilih rakyat dan melalui mandat Yang di-Pertuan Agong.
Adakah kenyataan beliau telah membatasi titah Seri Paduka?
Mudah sahaja, boleh katakan beliau derhaka pada titah Seri Paduka. Rujuklah lima prinsip Rukun Negara, antaranya ‘kesetiaan kepada Raja dan Negara’. Seri Paduka sudah bertitah dan membuat keputusan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Jadi, terima dan akurlah keputusan ini. Sebagai pembangkang, kritiklah secara berhemah. – UTUSAN










