KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta bagi pembangunan Mahkamah Syariah daerah Papar dengan kos keseluruhan RM18.5 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, projek di bawah Jabatan Perdana Menteri itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) Rolling Plan 3.
“Biarpun ia telah diluluskan pada tahun 2018, terdapat sedikit kelewatan yang antara lain berpunca daripada isu kesesuaian lokasi.
“Tapak yang dikenal pasti adalah kawasan berpaya atau berair yang melibatkan implikasi kewangan tambahan,” katanya selepas lawatan tapak projek Mahkamah Syariah Papar hari ini.
Armizan berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan serta JKR Sabah dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 25 Ogos 2024.
Menurut beliau, proses perolehan projek telah selesai dilaksanakan dan kebenaran masuk tapak bagi melaksanakan kerja tanah telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya meminta semua pihak terlibat memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar untuk memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Pelaksanaan awal telah tertangguh atas isu-isu tertentu khususnya yang melibatkan tapak projek dan keperluan kenaikan kos projek,” jelasnya.
Menurut Armizan, pembangunan mahkamah baharu itu adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan demi manfaat penduduk tempatan dan penjawat awam yang terlibat.
“Bangunan baharu ini akan membolehkan rakyat memiliki prasarana dan persekitaran perkhidmatan kerajaan yang lebih kondusif sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN