ALOR SETAR: Keputusan pemilihan sayap Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah tergantung ekoran percanggahan jumlah undi disyaki kehadiran pengundi hantu, semalam.
Sumber terdekat dengan parti itu memberitahu, kontroversi timbul setelah Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding jumlah 521 perwakilan yang menghadiri mesyuarat sayap itu.
“Jawatankuasa pemilihan bahagian mendapati terdapat 570 kertas undi semasa proses penjumlahan undi, berbanding kehadiran perwakilan hanya seramai 521 orang.
“Berikutan percanggahan itu, jawatankuasa pemilihan bahagian memutuskan untuk menangguhkan pemilihan sayap Wanita Kuala Kedah yang diadakan pagi semalam. Perkara itu mencetuskan khabar angin mengenai kehadiran pengundi hantu dalam proses undian,” katanya di sini hari ini.
Pertembungan jawatan Ketua Wanita bahagian itu menyaksikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mencabar penyandang, Noor Hasita Mat Isa.
Terdapat 750 perwakilan Wanita yang layak daripada 150 cawangan di bahagian Kuala Kedah dengan 521 daripada mereka hadir untuk pemilihan yang diadakan di Ukir Mall, di sini. –UTUSAN










