Kepentingan kesihatan buah pinggang terus jadi keutamaan - Utusan Malaysia

Kepentingan kesihatan buah pinggang terus jadi keutamaan

DR. Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia anjuran Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kampung Felda Sendayan, Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang akan diberi perhatian oleh kerajaan walaupun jumlah pesakit buah pinggang di negara ini masih dianggap rendah.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sehingga akhir tahun lalu, seramai 14,426 pesakit menjalani dialisis dengan 8,574 orang daripada mereka dirawat menggunakan kaedah hemodialisis dan bakinya secara peritoneal.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan.

“Angka ini dianggap masih rendah namun usaha berterusan perlu dilakukan supaya kita dapat memahami penyakit ini lebih baik dan berusaha mencegahnya.

“Selain mengamalkan gaya hidup sihat, kaedah yang terbaik ialah melakukan pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengesan penyakit ini sejak awal supaya tindakan dapat dilakukan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia di Kampung Felda Sendayan dekat sini.

Program tersebut anjuran Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung (F) Sendayan.

Dr. Zaliha berkata, beliau difahamkan kira-kira 250 orang mengambil bahagian dalam saringan kesihatan dalam program hari ini dan berharap mereka mendapat manfaat serta menimba ilmu pengetahuan mengenai kesihatan buah pinggang.

“Program seperti ini sangat penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kesihatan buah pinggang dan tindakan pencegahan yang perlu diambil,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zaliha berkata, kerajaan berharap dapat melancarkan Skim Perubatan Madani seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Madani 2023 sebelum Jun ini.

Katanya, skim itu yang bertujuan membantu golongan miskin dan mengurangkan kesesakan di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan di hospital kerajaan kini sedang diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan kerajaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.