Kelab Media Putrajaya kesal layanan dua darjat

Kelab Media Putrajaya kesal layanan dua darjat

KEDUDUKAN media di belakang dewan dalam acara makan malam pada sambutan Hari Hasil Ke-27 di Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelab Media Putrajaya memandang serius insiden yang berlaku pada Sambutan Hari Hasil ke-27 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan di Cyberjaya, malam tadi.

Menurut kenyataan kelab berkenaan, pihaknya kesal layanan yang diberikan penganjur terhadap kira-kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi yang hadir membuat liputan.

Jelasnya, jemputan kepada program itu adalah terbuka kepada semua agensi media yang dikeluarkan pada 2 Mac lalu dan bukan acara tertutup yang mana petugas media hadir tanpa kebenaran.

“Pertama, pengamal media pada awalnya tidak dibenarkan memasuki dewan majlis oleh urusetia kecuali pada acara penyampaian anugerah iaitu selepas ucapan perasmian Perdana Menteri.

“Sedangkan yang utama bagi pengamal media adalah melaporkan dan menyalurkan intipati ucapan Perdana Menteri kepada masyarakat. Bagaimanapun, setelah berbincang dan memberi penjelasan kepada urusetia barulah dibenarkan masuk,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sekiranya pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan ucapan Perdana Menteri sekalipun, sepatutnya pihak penganjur memaklumkan perkara berkenaan di dalam jemputan media supaya tidak berlaku kekeliruan ini.

Selain itu, katanya, kedudukan petugas media yang diletakkan di belakang dewan dan tidak disediakan meja khas kepada petugas media yang berkonsepkan majlis makan malam.

Malah difahamkan, urusetia majlis memaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersetuju dengan susun atur tersebut, namun hasil semakan dengan PMO mendapati, pihaknya turut tidak dimaklumkan mengenai persetujuan tersebut.

“Kami bukanlah mahu dilayan seperti orang kenamaan tetapi hanya mahu tugas kami dipermudahkan dalam menyampaikan maklumat kepada semua.

“Sehubungan itu, Kelab Media Putrajaya memohon penjelasan daripada pihak penganjur mengenai insiden ini dan berharap perkara serupa tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Kelab Media Putrajaya mahu turut mennyatakan, insiden sedemikian bukanlah pertama kali berlaku di organisasi dan majlis mahupun program lain apabila kehadiran pemberita yang atas jemputan dilihat seperti ‘menyusahkan’ kepada penganjur atau tuan rumah.

Justeru, Kelab Media Putrajaya berharap perkara sebegini tidak berterusan serta menjadi pengajaran kepada semua pihak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya