SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) Selangor mempertikai kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Izhar Hashim sebagai ahli lembaga pengarah syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB).
Justeru, pihak berkuasa digesa menyiasat perkara tersebut kerana kewujudan dua pemimpin kerajaan negeri itu dikhuatiri mencetuskan mencetuskan konflik kepentingan memandangkan syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak kerja mendalamkan 56 kilometer (km) Sungai Klang yang dianggarkan bernilai RM700 juta.
“Tidak sepatutnya Menteri Besar dan Exco berkenaan menjadi Pengarah Syarikat itu kerana ia akan mewujudkan konflik kepentingan (antara syarikat dan kerajaan negeri). Justeru itu, dua pemimpin itu harus memberikan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau sebelum itu hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang membuat laporan polis supaya pihak berkuasa berkenaan menyiasat sama ada berlakunya salah guna kuasa, iaitu pemberian tender secara terus kepada LLSB untuk menjalankan projek terbabit.
Dalam pada itu, Mohd. Shukor yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Puchong menggesa semua ketua cawangan Bersatu Selangor membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
“Kita tidak mahu insiden ini berlaku pada masa kini dan masa datang. Saya tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu sama sekiranya tiada perkembangan baharu siasatan polis berhubung kes ini,” tegasnya.
Amirudin pada tahun lalu memaklumkan, LLSB merupakan subsidiari bagi Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) Selangor yang dilantik bagi melaksanakan projek melebar dan mendalamkan Sungai Klang.
Projek itu bermula pada 1 November lalu dan akan dilaksanakan di empat blok utama kawasan yang sering berlaku banjir dengan projek berkenaan bermula dekat sungai di Mid Valley, Kuala Lumpur sehingga Pelabuhan Klang. – UTUSAN










