Kebajikan guru KAFA Selangor terjaga

Kebajikan guru KAFA Selangor terjaga

Guru KAFA mengharapkan imbuhan lebih baik atau menikmati faedah sama seperti guru biasa sekolah kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berdepan dengan isu kos sara hidup berikutan tidak mempunyai gaji tetap, Selangor didakwa menjadi negeri terbaik menjaga kebajikan golongan itu.

Menurut Pengerusi Persa­tuan Kebajikan Guru KAFA Se­langor, Suhaimi Mahmud, tidak dinafikan persatuannya sentiasa berjuang memastikan nasib guru KAFA dibela, namun di Selangor kebajikan mereka terpelihara.

Katanya, terdapat pelbagai kemudahan dalam asas kehidupan diberikan oleh Jabatan Agama Islam Sela­ngor (JAIS) dan Lembaga Zakat Se­langor (LZS), termasuklah bantuan sara hidup, perubatan dan peningkatan kerjaya.

“Di Selangor, semua guru lantikan seramai kira-kira 7,000 orang diberi kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).

“Selain itu, guru KAFA di Selangor turut diberikan faedah perubatan oleh LZS sehingga RM10,000 untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Jika, melebihi had maksimum, guru boleh membuat tuntutan kepada badan baitulmal itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Selangor, Kesatuan Guru Agama Malaysia Barat turut menghargai usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kerjaya guru KAFA terus disertai generasi muda dengan menyediakan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dengan kerjasama pelbagai universiti.

“Baru-baru ini seramai 800 orang ditawarkan program tersebut kerana ramai lepasan Ijazah dalam bidang agama Islam menjadikan pekerjaan guru KAFA sebagai kerja pertama mereka sementara mencari peluang lebih baik.

“Apabila tamat pengajian, mereka boleh memohon menjadi guru sekolah kebangsaan atau ditawarkan sebagai guru tetap atau kontrak di sekolah-sekolah milik JAIS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN