Kawal ketat harga bahan kuih raya di Selangor - Utusan Malaysia

Kawal ketat harga bahan kuih raya di Selangor

Kuih raya
MOHD. ZAWAWI Ahmad Mughni melihat jualan rahmah kelengkapan sekolah di di pasar raya besar Aeon BiG Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, petang tadi. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau ketat semua premis bagi mengawal kenaikan mendadak harga bahan mentah untuk membuat kuih raya di Selangor.

Tindakan tersebut termasuklah pemeriksaan lanjut akan dijalankan penguat kuasa kementerian itu di semua premis perniagaan termasuk pasar raya dan kedai bahan bakeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak pihak tertentu  sewenang-wenangnya mengaut keuntungan lebih dengan menaikkan harga bahan tersebut.

“Tidak dinafikan ada pihak sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Justeru, kita perlu bertindak lebih tegas untuk mengawalnya menerusi langkah penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya selepas merasmikan program Jualan Rahmah Back To School Peringkat Negeri Selangor di pasar raya besar Aeon BiG Seksyen 23, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Zuhairi Mat Radey menyerahkan sumbangan peralatan sekolah kepada 100 pelajar kurang berkemampuan dan meninjau jualan khas di premis tersebut.

Sebelum ini, pembuat biskut raya menyatakan kebimbangan apabila harga bahan mentah untuk membuat hidangan itu naik mendadak sehingga 50 peratus sejak awal tahun ini. 

Keadaan itu membuatkan peniaga terpaksa memikirkan strategi baharu bagi menjamin keuntungan mereka termasuk menaikkan harga jualan sehingga RM5 mengikut jenis biskut raya menjelang sambutan Aidilfitri akan datang.

Kenaikan harga barangan itu dikatakan membabitkan semua jenis bahan atau produk pembuatan biskut raya seperti tepung gandum, tepung jagung, gula, kepingan coklat dan badam.

Jelas Mohd. Zawawi, pihaknya yang sengaja menaikkan harga berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, bagaimanapun bahan keperluan asas di Selangor masih mencukupi sepanjang Ramadan nanti.

“Tidak semua orang boleh menentukan harga dengan sesuka hati hanya kerana mendapat permintaan di pasaran. Perbuatan itu jelas bertentangan dengan akta sedia ada dan orang ramai boleh menyalurkan aduan mengenainya kepada KPDN.

“Kita setakat ini tidak mendapat aduan mengenai kekurangan bahan dan masih dalam keadaan terkawal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya