BATU GAJAH: Warisan sejarah, Kapal korek Tanjung Tualang No.5 atau TT5 dekat sini mendapat pengiktirafan kejuruteraan mekanikal antarabangsa apabila menerima Anugerah Kejuruteraan Warisan daripada Institusi Jurutera Mekanikal (IMechE) United Kingdom.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, TT5 merupakan penerima anugerah tersebut yang pertama di negeri ini dan di Asia Tenggara.
“Kerajaan negeri berbesar hati dengan penganugerahan daripada sebuah organisasi antarabangsa yang mengiktiraf monumen kejuruteraan mekanikal ini.
“Berdirinya sebuah ‘keajaiban kejuruteraan’ di Tanjung Tualang ini adalah tanda kebanggaan negeri Perak dengan pengeluaran biji timah yang menjadi teras ekonomi Tanah Melayu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis penyerahan plak IMECHE Engineering Heritage Award di TT5 di sini hari ini.
Menurut Mohammad Nizar, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi memastikan warisan itu terpelihara dan MB Inc. telah diberikan mandat bagi memastikan warisan berharga ini terus diingati dan diketengahkan.
Beliau berkata, penganugerahan itu mengiktiraf usaha kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara warisan kapal korek di mana satu-satunya masih lagi kekal di negeri Perak.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf warisan bersejarah ini tetapi juga usaha kerajaan negeri Perak dalam memastikan kapal korek menjadi ikon sejarah selain mempromosikan pencapaian serta kejayaan kejuruteraan yang lepas,” katanya. – UTUSAN