BAGAN DATOH: Sama seperti sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini yang boleh disifatkan sebagai antara sekolah paling sunyi di negara ini kerana hanya seorang murid Tahun 1 yang mendaftar tahun ini, suasana di Kampung Tebing Rebak juga sunyi ekoran kekurangan penduduk.
Pernah mempunyai penduduk yang ramai, kampung yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan terdekat iaitu pekan Hutan Melintang di sini terus mengalami kekurangan penduduk apabila hanya terdapat kira-kira 50 penduduk dan 15 buah rumah ketika ini.
Seorang penduduk, Mohamad Ali Lebar, 72, yang dilahirkan di kampung itu berkata, dia antara beberapa penduduk yang menyaksikan sendiri perubahan bilangan penduduk yang berkurangan saban tahun.
Katanya, pada tahun 70-an, kampung itu meriah dengan jumlah penduduk yang ramai, sama seperti kampung lain dengan anggaran lebih 50 rumah dan penduduk lebih 200 orang.
Katanya, namun seiring dengan perubahan masa, ramai penduduk yang berhijrah mencari pekerjaan yang lebih baik menyebabkan kampung itu semakin sunyi.
“Yang tinggal di kampung ini hanya warga emas, ibu atau bapa tunggal, banyak rumah yang kosong kerana lepasan sekolah biasanya ke bandar untuk mencari kerja yang lebih baik daripada kerja di kampung hanya ke sungai dan kerja kebun sawit.
“Penduduk memilih berhijrah kerana mereka tidak mempunyai tanah sendiri yang luas untuk diusahakan.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk di sini semakin kurang sekali gus menyebabkan jumlah murid di sekolah kampung ini juga berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penduduk, Ramlah Muhamad Ali, 71, pula berkata, di kampung itu ramai ibu tunggal kerana suami mereka sudah meninggal dunia manakala golongan muda berhijrah ke banda mencari kerja yang lebih terjamin.
Katanya, golongan muda tidak mahu bekerja kampung kerana pendapatan yang rendah selain tidak memiliki tanah yang luas untuk diusahakan.
“Golongan muda lebih memilih berhijrah untuk kehidupan yang lebih baik di bandar. Jangan kata anak orang lain, anak saya pun semua sembilan orang keluar dari kampung ini mencari pekerjaan lain di Kuala Lumpur kerana di sini tiada pekerjaan,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan hanya seorang murid daftar murid Tahun 1 di SK Tebing Rebak bagi sesi 2023 yang bermula minggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah itu kepada lapan orang.
Pada sesi 2022, sekolah itu hanya mempunyai tujuh murid, berikutan kekurangan penduduk di kampung itu. – UTUSAN









