Kak Zu perdaya jiran, menangis di depan rumah Siti Bainun

Kak Zu perdaya jiran, menangis di depan rumah Siti Bainun

SITI Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membela diri berhubung dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jiran kepada Siti Bainun Ahd Razali membawa rakan pengasas Rumah Bonda itu, Zurianty Sudin selepas mendakwa telah diberi keizinan daripada wanita itu untuk pergi ke rumahnya pada 24 Jun 2021 atas alasan tiada sesiapa menjaga kanak-kanak di rumah berkenaan.

‘Izin’ tersebut bagaimanapun dimaklumkan merupakan satu penipuan.

“Saya dapat mesej daripada Cik Bainun tanya awak dengan Kak Zu datang rumah ke, lepas tu saya jadi pelik. (Saya jawab) bukan Cik Bainun kata bawa Kak Zu datang rumah ke, Kak Zu kata dah minta izin dan Cik Bainun okay sahaja. (Bainun) kata dia tipulah tu,” kata saksi pembelaan keempat, Nor Aidil Farhab Johaizad.

Terdahulu, saksi yang juga bekerja sebagai penghantar makanan memberitahu Zurianty yang merupakan saksi pendakwaan pertama bahawa dia telah mendapat izin daripada Siti Bainun untuk ke rumah wanita terbabit kerana tiada orang dewasa di rumah berkenaan memandangkan pengasas rumah kebajikan itu sedang dikuarantin di Pusat Kusta, Sungai Buloh akibat Covid-19.

“Dia (Zurianty) bagi tahu dia dah beritahu tahu Cik Bainun dan dia kata Cik Bainun izin sebab saya ada kad akses untuk masuk ke rumah, lepas tu saya kata ok, esok. Esoknya saya pergi ke rumah Kak Zu, ambil dia di rumah dan saya bawa kereta. Lepas tu kami berhenti dekat Shell Ulu Klang, dia beli keropok, beli air, roti (kemudian) kami teruskan perjalanan ke (Kondo) Irama Wangsa.

“Lepas masuk tempat letak kereta dan naik ke atas. Saya bawa dia sampai depan pintu dan masa sama budak-budak di rumah berkenaan buka pintu. Mula-mula saya tidak perasan, (tapi) saya macam pelik kenapa Kak Zu menangis depan rumah, tak masuk rumah, dia di depan rumah sahaja. Lepas tu saya (bergerak) ke depan sikit dan saya perasan dia (Zurianty) pegang telefon, dia merakam.

“Dia menangis beria-ia di depan pintu bila tengok Bella. Tak sampai 10 minit, dia bagi makanan (pada anak-anak ang­kat Siti Bainun) yang dia beli tadi dan dia suruh saya balik. Dia beritahu nak bawa Bella pergi hospital,” katanya ketika disoal oleh peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf pada pemeriksaan utama di Mahkamah Se­syen di sini semalam.

Pada peringkat awal, Nor Aidil memberitahu dia sering membantu Siti Bainun membuat penghantaran barang ke Rumah Bonda, mengambil dan menghantar salah seorang anak angkat wanita itu yang bernama Mariam ke sekolah serta membantunya mengangkat barang-barang berat.

Bagaimanapun, ujar saksi ter­sebut, dia tidak pernah melihat Zurianty di rumah Siti Bainun di Kondo Irama Wangsa dan hanya berjumpa wanita itu di rumah penjagaan, Rumah Bonda.

Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan da­lam perbicaraan Siti Bainun yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan meng­aniaya remaja Sindrom Down, Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum pen­jara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Izralizam Sanusi bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN