KANGAR: Pemberian elaun buat guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sewajarnya dikaji semula berikutan jumlah bayarannya yang dianggap tidak munasabah dan masih berada pada kadar rendah.
Sebagai contoh, buat masa ini, guru-guru KAFA di Perlis hanya menerima bayaran elaun berjumlah sekitar RM1,300 sebulan menerusi pemberian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama negeri.
Di samping itu, isu perjawatan tetap turut membelenggu guru-guru KAFA memandangkan mereka masih berstatus kontrak dan perlu menyambungnya bagi tempoh setiap dua tahun.
Menurut sumber yang juga merupakan seorang guru KAFA, kadar pembayaran elaun berkenaan adalah tidak sama bagi setiap negeri namun kebanyakan masih berada pada tahap rendah.
“Umpamanya di Perlis, JAKIM memberi elaun berjumlah RM1,000 pada setiap bulan kepada guru KAFA malah terdapat juga bayaran penambahan diberikan oleh jabatan agama negeri dan menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima adalah sekitar RM1,300 sebulan.
“Penambahan elaun itu adalah berikutan terdapat tambahan satu hari kelas mengajar iaitu pada hari Rabu dan menjadikan jumlah keseluruhan kelas pada setiap minggu adalah sebanyak empat kali bermula Isnin sehingga Khamis,” katanya.
Mengulas lanjut, sumber berkata, kadar pemberian elaun berkenaan perlu dikaji sebaiknya memandangkan jumlah bayaran bersih yang diterima oleh guru-guru KAFA di negeri ini hanya sekitar RM1,100 selepas potongan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
“Bayangkan jika seseorang guru KAFA itu tidak sempat untuk memberikan komitmen bagi kerja sampingan, pastinya elaun bulanan yang diterima mereka itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak.
“Atas sebab itulah ramai di antara guru-guru KAFA terpaksa melakukan kerja sampingan pada waktu pagi atau malam bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.
Tambahnya, penambahan elaun dan semakan bagi pemberian status perkhidmatan tetap buat guru-guru KAFA itu sememangnya merupakan perkara serius yang perlu diberi keutamaan oleh pihak bertanggungjawab dengan kadar segera.
“Guru-guru KAFA kebanyakannya masih diberikan status kontrak atas alasan tempoh mengajar mereka terlalu singkat iaitu sekitar tiga jam sehari,” katanya. – UTUSAN










