MELAKA: Kadar pengangguran di Melaka adalah lebih rendah iaitu hanya 2.6 peratus berbanding kadar pengangguran nasional 3.7 peratus pada suku ketiga 2022, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pada tahun lalu, seramai 8,104 pencari kerja di negeri ini berjaya ditempatkan dalam pekerjaan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,053 pencari kerja merupakan penerima manfaat Program Penjana Kerjaya dan Program Jamin Kerja Insentif Penggajian.
“Kerajaan negeri juga berbesar hati kerana Perkeso telah menubuhkan empat Pusat Satelit MYFutureJobs di negeri ini iaitu di Pusat Komuniti Desa (PKD) Sungai Siput, PKD Asahan, PKD Tehel dan PKD Gadek.
“Saya difahamkan bahawa Pusat Satelit MYFutureJobs di Melaka ini adalah antara 152 yang dibuka di pelbagai lokasi di seluruh negara. Kerajaan negeri juga akan memperhalusi cadangan agar lebih banyak Pusat Satelit MYFutureJobs dibuka di Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Melaka Careertrans di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Sulaiman, lebih 6,500 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja oleh 36 majikan dalam karnival berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri bersama Perkeso telah mengumpulkan beberapa syarikat terbaik di Melaka dan memberi peluang kepada pencari kerja bertemu dengan bakal majikan secara bersemuka.
“Alhamdulillah, kita semua perlu bersyukur dan beruntung mempunyai platform untuk membantu pencari kerja di negeri ini, termasuk golongan rentan, mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN