JPJ Pulau Pinang terus gempur ulat teksi lapangan terbang - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang terus gempur ulat teksi lapangan terbang

ANTARA ulat teksi yang ditahan JPJ Pulau Pinang selepas didapati mengambil penumpang secara haram dalam Ops Ulat di LTAPP, Bayan Lepas semalam. - Pic: IHSAN JPJ PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus menggempur ulat teksi yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini dengan dua lagi pemandu ditahan semalam.

JPJ negeri dalam kenyataan menerusi media sosial Facebook memaklumkan, kedua-dua pemandu itu ditahan menerusi penguatkuasaan khas Ops Ulat yang dijalankan Unit Operasi bersama Unit Siasatan dan Risikan agensi berkenaan.

Jelasnya, pemandu berkenaan didapati melanggan penumpang dan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen atau secara haram di lapangan terbang berkenaan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 APAD 2010 iaitu tiada lesen pengendali dan kesalahan di bawah Seksyen 22 APAD 2010 iaitu melanggar syarat permit.

“Penumpang yang diambil ialah pelancong warganegara luar dengan dikenakan kadar bayaran mengikut destinasi dituju,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, Seksyen 16 APAD 2010 memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 22 APAD 2010 pula, boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, ujarnya, orang awam yang ingin menggunakan perkhidmatan kenderaan dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam yang sah dan berlesen supaya perjalanan lancar dan selamat sampai ke distinasi.

“Tindakan penguatkuasaan berterusan akan terus dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen atau secara haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.