Johari dilantik Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan UMNO - Utusan Malaysia

Johari dilantik Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan UMNO

AHMAD Zahid Hamidi berucap bersama barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu dalam sidang akhbar selepas penangguhan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Presi­den UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Maj­lis Kerja Tertinggi (MKT) untuk melantik Naib-Naib Presiden sebagai pengerusi majlis.

Jelasnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik Pengerusi Majlis Pengkaderan Latihan dan Keahlian manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundangan dan Perlembagaan.

Katanya, mesyuarat bersetuju melantik Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung UMNO; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Ke­tua Penerangan).

“Mesyuarat turut melantik 13 Ahli MKT (Lantikan) dan tujuh Ahli MKT (Turut Hadir).

“Kami sebulat suara berazam terus memperkasa perpaduan dan penyatuan dalam saf kepimpinan UMNO di semua peringkat.

“Jadi dengan pelantikan ini kita berazam menterjemahkan lima hala tuju yang saya garis ketika ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu di mana kita memberikan penugasan ini kepada beberapa ahli majlis dan ketua sekretariat,” katanya.

Tambahnya, apa yang pen­ting adalah membuktikan kepimpinan ketika ini dapat bergerak bersama apabila menghadapi Pilihan Raya Ne­geri (PRN) akan datang.

“Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk semua pilihan raya umum akan datang, PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Ketua Jabatan Pilihan Raya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan berada di ibu pejabat menge­tuai gerak kerja dan menyelaras dengan Timbalan Presiden (Mohamad) dan ke­tua pergerakan sayap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.