Jarak satukan Aisha Retno, Aziz Harun

Jarak satukan Aisha Retno, Aziz Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka perkenalan yang bermula sekitar 2019 antara penyanyi, Aziz Harun dan Aisha Retno akhirnya ‘menjentik’ hati mereka untuk bersatu dalam single duet berjudul Jarak

Aziz adalah insan yang begitu teruja apabila diberikan peluang berduet dengan Aisha dan tidak menyangka kolaborasi yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka berubah menjadi sebuah karya yang serius.

“Saya memang peminat Aisha sejak dulu lagi. Saya selalu memberikan komen setiap kali dia memuat naik lagu nyanyiannya di media sosial, tapi kami tidak berkesempatan untuk bertentang mata sebelum ini.

“Namun, awal tahun lalu, ketika Aisha menyertai program realiti, Big Stage musim keempat, dia ada menghubungi untuk bertanya mengenai idea lagu baharu yang ditulis selain bertanya mengenai pembabitannya dalam program realiti nyanyian itu,” katanya. 

Menurut Aziz, ketika itu, dia masih berada di Brunei dan Aisha pula di Malaysia serta hanya menghantar rakaman suara serta melodi lagu Jarak dari jarak jauh.  

“Ketika mendengarnya saya terus jatuh cinta sebab lagu ini ada sentuhan dan vibes dari Indonesia.

“Kami akhirnya bertemu pada pertengahan tahun lalu dan berpeluang menyanyi secara langsung bersama-sama. Saya rasa gembira dan teruja apabila syarikat rakaman turut memberi kepercayaan kepada kami untuk menghasilkan lagu baharu ini dengan Aisha,”katanya.

Tambah Aziz, dia dan Aisha tidak mengambil masa terlalu lama untuk mencipta keserasian, malah proses rakaman hanya mengambil masa selama satu hari sahaja.

“Proses rakaman bersama penerbit Glowrush berjalan mudah dan lancar sebab saya dengan Aisha bersepakat untuk tidak terlalu bereksperimentasi untuk menghasilkan lagu ini.

“Lagipun kami nak simpan magis lagu ini pada setiap persembahan yang bakal kami bawakan secara langsung sambil diiringi petikan gitar. Kami juga bertuah apabila diberi rezeki untuk bekerja dengan Glowrush yang cukup dikenali sebagai penerbit yang berbakat besar.

“Glowrush handal bermain piano, jadi sebelum proses rakaman bermula, kami bertiga seperti mengadakan ‘konsert mini’ di studio apabila menyanyikan beberapa buah lagu terlebih dahulu bagi mencipta keserasian dan memudahkan proses rakaman,”katanya.

Keserasian yang ditampilkan menerusi lagu Jarak turut diakui oleh Aisha apabila dia tidak berasa kekok berdepan penyanyi yang cukup dikagumi ramai.

“Kami sudah lebih tiga tahun berkawan baik. Dia adalah antara penyanyi terawal yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat ketika saya memilih untuk masuk dalam industri muzik.

“Aziz banyak memberikan tunjuk ajar mengenai selok-belok dunia hiburan. Alhamdulillah, kami tak berdepan sebarang cabaran besar ketika proses rakaman, sebaliknya segala proses berjalan dengan lancar dan menyeronokkan.

“Kami ibarat sedang lepak di kedai mamak dan saling bertukar idea untuk mencantikkan lagu ini. Keserasian antara kami itu sudah lama terbina dan kami sudah kenal perangai masing-masing,” katanya.

AISHA SAKIT TEKAK

Bagi Aisha, dia sangat bersyukur dan bangga kerana dapat bekerjasama dengan Aziz menerusi lagu Jarak.

Katanya, ini merupakan lagu duet pertamanya sepanjang bergelar penyanyi.

“Saya amat teruja berpeluang bekerjasama dengan penyanyi yang cukup terkenal dalam bidang seni suara di Malaysia dan Brunei. 

“Lagu nyanyiannya selalu memberi saya idea dan inspirasi untuk menulis lagu baharu. Apabila diberikan peluang untuk bekerjasama saya sangat teruja,” katanya.

Tambah Aisha, ketika proses rakaman berlangsung, dia berdepan satu cabaran kecil apabila mengalami masalah kesihatan namun semuanya dapat dikawal dengan baik.

“Sehari sebelum proses rakaman dijalankan kami terlebih dahulu merakam demo selain mengenali dengan lebih rapat dengan Glowrush.

“Namun keesokan harinya, tiba-tiba saya sakit tekak. Namun Aziz dan Glowrush sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyakinkan saya mampu menyiapkan lagu ini,” katanya.  

Paduan suara oleh dua penyanyi muda berbakat besar ini adalah hasil kerjasama dua syarikat rakaman terkenal tanah air, Sony Music Malaysia dan Faithful Music.

Lebih menarik, Jarak yang menjalani proses rakaman sejak Jun lalu, bakal dimuatkan dalam album pertama Aziz bertajuk Yang Benar

GOSIP CINTA 

Ditanya kesediaan untuk berdepan gosip cinta selepas kejayaan gandingan mantap ini, penyanyi itu berkata, mereka sentiasa bersikap terbuka dan menerima teguran secara positif. 

“Kami sedia menghadapi apa sahaja perkara akan datang dan menerima secara profesional. Malah, kami anggap ia sebagai satu motivasi dalam kerjaya kami.

“Lagipun peminat sekarang sangat memberikan sokongan dan tidak akan berlaku komen yang tak baik memandangkan ia hanya sekadar gosip. Rasanya mereka okey dan santai.

“Cuma saya harap kerjasama ini tidak terhenti di sini saja, sebaliknya akan ada projek untuk kami berdua berkolaborasi selepas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya