Jahit baju raya sampai pukul 2 pagi

Jahit baju raya sampai pukul 2 pagi

SEORANG pekerja menunjukkan baju kurung yang siap dijahit di sebuah kedai di Kota Bharu, Kelantan. – MINGGUAN /ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tempahan luar biasa yang diterima untuk sambutan Aidilfitri daripada pelanggan mendorong tukang jahit di sini terpaksa mengerah keringat sehingga pukul 2 pagi bagi memastikan baju raya dapat dipakai pada hari lebaran April ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata tukang jahit terpaksa bersengkang mata selain kawasan kedai mereka dipenuhi timbunan kain pasang milik pelanggan yang membuat tempahan.

Seorang tukang jahit yang berpengalaman lebih 25 tahun, Normaliza Mohd. Nor, 51, berkata, dia menerima tempahan daripada pelanggan sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, kebanyakan tempahan itu diterima daripada anak-anak perantau yang be­kerja di luar negeri ini.

“Setiap kali hari raya, saya akan menjahit kira-kira 300 pasang baju yang ditempah oleh pelanggan.

“Bagi melancarkan kerja, saya turut menggunakan tiga orang pembantu untuk menyiapkan baju kurung, mini kurung, baju Riau serta baju kurung kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Normaliza memberitahu, kadar upah yang dikenakan bergantung kepada potongan dan kehendak pelanggan bermula RM40 hingga RM100 untuk sepasang.

Seorang lagi tukang jahit yang mahu dikenali sebagai Nor, 39, berkata, dia hanya mengambil 100 pasang tempahan untuk kali ini.

Katanya, tindakan itu untuk menjaga kualiti jahitan bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

“Saya tiada pembantu, sebaliknya akan menyiapkannya seperti yang dijanjikan pelanggan untuk memakainya pada hari lebaran nanti.

“Kebanyakan pelanggan tetap akan datang ke kedai atau di rumah untuk menjahit baju,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN