Isu rehat dalam politik: Saya tidak perlu ikut kehendak dia - Tun M

Isu rehat dalam politik: Saya tidak perlu ikut kehendak dia – Tun M

TUN Dr. Mahathir Mohamad ketika dalam sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad menolak nasihat diberikan ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram supaya tidak terbabit dalam politik dan menjadi negarawan.

Dr. Mahathir berkata, itu pendapat peribadi dikeluarkan Jomo dan beliau tidak semestinya mengikut kehendak itu.

“Itu Jomo punya pendapat. Tidak semestinya saya kena ikut kehendak dia,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan terus terbabit dalam politik, Dr. Mahathir berkata, beliau akan tetap meneruskan aktiviti politiknya seperti biasa demi negara.

“Demi negara, jika orang datang minta tolong, kita kena lah tolong. Tak kan saya nak cakap tidak boleh tolong sebab nak rehat. Jika ada yang minta pendapat, saya sedia beri pendapat,” katanya.

Sebelum ini, Jomo menyatakan Dr. Mahathir sepatutnya meninggalka politik dan mengambil peranan sebagai seorang negarawan ulung.

Dalam satu forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi, Jomo berkata, beliau pernah menasihatkan perkara itu kepada Dr. Mahathir kira-kira lapan bulan lalu supaya meninggalkan politik.  – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN