Isteri anggota polis maut ditembak hamil lima bulan, suspek penyayang

Isteri anggota polis maut ditembak hamil lima bulan, suspek penyayang

KEADAAN di depan rumah Safsufarnisya Salleh yang menerima kunjungan saudara-mara susulan kejadian tembak yang mengorbankan nyawa di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tempoh kira-kira empat bulan lagi sepatutnya menjadi detik paling indah buat Safsufarnisya Salleh, 27, yang bakal melahirkan anak pertama selepas dua tahun perkahwinan.

Bagaimanapun, tragedi menyayat hati selepas wanita yang hamil lima bulan itu ditembak mati suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal dalam kejadian di bilik tidur di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini kelmarin, meranapkan impian pasangan tersebut.

Difahamkan, suspek tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik selain sempat minum bersama isterinya di dapur sebelum kejadian itu.

Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian tersebut memandangkan menantunya seorang yang baik dan ringan tulang.

“Mereka mendirikan rumah tangga sejak Mei 2021. Dia sentiasa mengambil berat tentang kandungan cahaya mata sulung mereka itu dan sering membawa isterinya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lans koperal polis yang baru pulang bertugas menembak mati isterinya dalam kejadian di bilik tidur rumah mereka di Kampung Bendang Baru.

Kejadian pukul 6 pagi itu membabitkan anggota polis berusia 26 tahun dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Semasa ditahan lans koperal itu berada di dalam bilik tidur bersama mayat isterinya, yang terbaring di atas tilam dengan muka cedera parah dipercayai akibat tembakan dari jarak dekat itu.

Ekoran itu, anggota polis berkenaan ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes tembak tersebut.

CHE Mas Taha (kiri) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Perlis.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Sementara itu, Che Mas berkata, menantunya itu sebelum ini pernah menunjukkan tingkah laku di luar jangka sewaktu Hari Raya Aidiladha tahun lalu apabila bertindak memandu keretanya seorang diri tanpa hala tuju sehingga kehabisan petrol.

Katanya, selepas kereta itu sudah tidak dapat bergerak kerana kehabisan minyak, menantunya itu menunaikan solat di tepi jalan berkenaan sambil menangis teresak-esak.

“Itu adalah kali pertama dia (menantu) menunjukkan tingkah laku sebegitu dan kami tidak menyangka kejadian kali ini akan jadi seteruk ini,” katanya.

Dalam pada itu, Che Mas berkata, lelaki itu seorang yang sangat baik dan sering membantu mereka sekeluarga memandangkan anak-anaknya yang lain menetap di luar Perlis.

Ujarnya, menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu itu juga sering membantu membawa suaminya, Salleh Eizan, 61, mendapatkan rawatan di hospital susulan daripada penyakit kanser usus tahap 4 yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

“Saya memang reda dengan ujian yang Allah SWT ini memandangkan dia sudah seperti anak kandung saya sendiri dan sentiasa membantu memudahkan urusan kami sekeluarga. Dia juga tidak pernah berkira dan rajin membungkus makanan untuk kami yang berada di rumah ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN