TEMERLOH: Rasa seperti mimpi. Itulah digambarkan oleh Yanti Mahadar, 44, ibu kepada Muhammad Amirul Ahmad Sabri, 24, salah seorang mangsa yang maut rentung dalam kemalangan di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Kampung Cempaka di sini, semalam.
Yanti berkata, Muhammad Amirul sudah berjanji untuk pulang pada malam hari yang sama, namun tidak menyangka anaknya itu terlibat dalam kemalangan.
“Dia sudah janji dengan saya. Tapi, lain pula jadinya. Saya memang tak sangka ini yang terjadi kepadanya. Tapi, saya rasa macam mimpi. Betul ke apa yang berlaku. Saya sebenarnya harap ia hanya mimpi tapi kenyataan yang perlu saya hadapi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Yanti, kali terakhir dia berbual dengan Muhammad Amirul pada Sabtu pagi sebelum anaknya itu ke Kuala Lumpur bersama rakan baiknya, Fareez Hakimi Zulkifli, 25, yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Saya selalu berseloroh dengan dia. Bila nak keluar berdua dengan ibu, asyik dengan Mimi (Fareez Hakimi) sahaja. Dia beritahu, tunggu dia cuti baru boleh keluar berdua,” ujarnya.
Bapa Muhamad Amirul, Ahmad Sabri Abd. Rahman, 52, pula berkata, dia menerima panggilan tentang kejadian menimpa anaknya selepas membeli barangan di Pekan Sehari Temerloh.
“Saya dapat tahu pun daripada Zulkifli (bapa kepada Fareez Hakimi). Saya terus telefon Amirul guna WhatsApp, memang berbunyi tapi tiada jawapan. Saya sudah tidak dapat fikir panjang, terus ke hospital,” katanya.
Sementara itu, ibu Fareez Hakimi, Dahlia Mahamad, 44, pula berkata, dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anaknya itu sudah meninggal dunia namun tetap reda.
Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada suaminya tentang kejadian menimpa anak sulung dari tiga beradik itu.
Sementara itu, Zulkifli, 45, berkata, meskipun identiti Fareez Hakimi tidak dapat dikenalpasti berikutan dokumen tidak berjaya ditemukan, namun dia mengetahui anaknya terlibat kemalangan terbabit berdasarkan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki mangsa.
“Daripada nombor pendaftaran itu, mereka hubungi saya. Saya memang terkejut dengan kejadian menimpa anak saya. Selepas itu, saya hubungi isteri dan terus ke hospital,” katanya.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan sahabat baik dalam perjalanan pulang ke Bera selepas menyelesaikan urusan kerja di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ketika dalam perjalanan pulang, kenderaan jenis Ford Ranger dinaiki kedua-dua mangsa terbakar setelah bertembung dengan lori kontena membawa muatan alat ganti kereta. – UTUSAN











