TAMPIN: Seorang penternak kambing kini bimbang dengan kebenaran khabar didengarinya mengenai kehadiran harimau belang di Kampung Sri Repah di sini sejak seminggu lalu.
Penduduk berkenaan, Idris Isa, 57, berkata, ia selepas berlakunya kejadian ternakan kambing biri-birinya yang mati di dalam kandang dengan kesan gigitan.
Katanya, dia menyedari seekor kambing biri-birinya sudah mati dalam keadaan terkulai dengan kesan gigitan manakala seekor lagi kambing ternakannya pula sudah lesap yang didakwanya mungkin telah dimakan haiwan liar tersebut.
Jelasnya, kejadian binatang ternakan mati seperti itu baru pertama kali berlaku di perkampungan tersebut sejak dia menetap di situ lebih 50 tahun lalu.
“Pagi tadi saya ke kandang untuk beri kambing makan namun terkejut melihat haiwan ternakan mati dalam keadaan terkulai.
“Saya syak ia dilakukan harimau belang kerana pada minggu lepas ada penduduk kampung mendakwa ternampak binatang itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Repah di sini, semalam.
Idris berkata, dia kini menunggu kehadiran kakitangan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Negeri Sembilan untuk menjalankan siasatan.
“Kejadian juga menyebabkan kandang yang menempatkan 10 ekor kambing ini rosak jadi saya harap pihak berkaitan mengambil langkah sepatutnya.
“Ia bukan hanya soal kerugian yang dialami tetapi juga soal keselamatan, jika benar terdapat haiwan liar itu di sini ia pastinya juga mengancam penduduk,” katanya lagi.-utusan










